Berguna tetapi berbahaya, penggunaan asbestos berisiko terhadap kesihatan


  • Sihat
  • Khamis, 30 Jan 2025

Walaupun mempunyai manfaat dalam industri, asbestos membawa risiko kesihatan yang serius. — Gambar Hiasan/Agensi

ASBESTOS telah digunakan secara meluas dalam pelbagai industri kerana ketahanannya terhadap haba, kekuatan, dan sifat penebatnya.

Namun, walaupun mempunyai manfaat dalam industri, asbestos membawa risiko kesihatan yang serius.

Susulan itu, kerajaan merancang untuk melaksanakan pengharaman penuh ke atas penggunaan asbestos dalam negara berikutan risiko kesihatan serius yang dikaitkan dengan bahan tersebut.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, baru-baru ini mengumumkan bahawa langkah itu akan melengkapkan sekatan sedia ada, termasuk pengharaman penggunaan asbestos dalam semua bangunan kerajaan sejak 2005.

BACA LAGI: [VIDEO] Nasib tak kena telan, gadis duyung hampir dimakan ikan gergasi dalam akuarium di China

BACA LAGI: [VIDEO] Berang isteri tak dibenarkan cuti, suami 'ambush' pengurus pasar raya dengan penyodok di Brazil

Apa itu asbestos?

ezgif.com-webp-to-jpg-converter (8)

Asbestos merujuk kepada sekumpulan mineral yang terdiri daripada kristal berserat halus dan banyak digunakan dalam sektor pembinaan dan automotif. — Agensi

Asbestos merujuk kepada sekumpulan mineral yang terdiri daripada kristal berserat halus yang banyak digunakan dalam pelbagai industri.

Ia terkenal kerana ketahanan terhadap haba, kekuatan, serta sifat penebatannya.

Oleh itu, asbestos telah digunakan dalam bahan binaan, alat ganti automotif, tekstil dan pelbagai aplikasi industri.

Antara produk yang mengandungi asbestos termasuk jubin bumbung, penebat, kepingan simen dan lantai vinil dalam sektor pembinaan.

Dalam industri automotif, bahan ini turut digunakan dalam pad brek, klac dan gasket.

Selain itu, asbestos juga boleh ditemui dalam bangunan lama, tanah berhampiran deposit asbestos semula jadi dan tapak pelupusan bahan buangan asbestos.

Ketahanan bahan itu menjadikannya sukar untuk terurai, sekali gus menjadi ancaman kesihatan jangka panjang.

Risiko kesihatan akibat pendedahan asbestos

chemcare blog image

Antara penyakit utama yang dikaitkan dengan pendedahan asbestos termasuk mesothelioma, asbestosis, dan kanser paru-paru. — Gambar Hiasan/Agensi

Serat asbestos menjadi berbahaya apabila berterbangan di udara dan boleh disedut atau tertelan, menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Antara penyakit utama yang dikaitkan dengan pendedahan asbestos termasuk mesothelioma, asbestosis, dan kanser paru-paru.

Untuk makluman, mesothelioma merupakan sejenis kanser yang jarang berlaku tetapi agresif dan puncanya berkait rapat dengan pendedahan kepada asbestos.

Kanser tersebut akan menyerang lapisan paru-paru (pleura), perut (peritoneum) atau jantung (perikardium).

Lebih menakutkan lagi, gejala penyakit itu boleh mengambil masa antara 20 hingga 50 tahun untuk muncul, menjadikannya sukar dikesan pada peringkat awal.

Asbestosis pula merupakan penyakit paru-paru kronik yang disebabkan oleh pengumpulan serat asbestos dalam paru-paru.

Penyakit tersebut akan menyebabkan keradangan dan parut, mengakibatkan simptom seperti sesak nafas, batuk berterusan dan sakit dada.

Walaupun bukan penyakit kanser, asbestosis tidak boleh dipulihkan dan boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang.

Pendedahan kepada asbestos juga meningkatkan risiko kanser paru-paru, terutamanya dalam kalangan perokok.

Selain itu, bahan asbestos turut dikaitkan dengan kanser tekak dan ovari, serta keadaan lain seperti plak pleura, efusi pleura dan penebalan pleura.

Golongan yang berisiko tinggi termasuk pekerja binaan, pelombong dan pekerja industri yang terdedah kepada asbestos secara langsung.

Penduduk yang tinggal berhampiran lombong asbestos, kilang atau bangunan usang juga berisiko akibat pendedahan alam sekitar.

Ahli keluarga pekerja yang terdedah kepada asbestos boleh mengalami pendedahan sekunder melalui pakaian atau peralatan yang tercemar.

Langkah pengawalan asbestos di seluruh dunia

Asbestos telah disenaraikan sebagai bahan berbahaya di beberapa negara. — Gambar Hiasan/Agensi

Bahaya asbestos telah mendorong banyak negara untuk melaksanakan peraturan ketat dan usaha kesihatan awam bagi mengehadkan pendedahan serta menguruskan bahan itu dengan selamat.

Konvensyen Rotterdam, misalnya, mewajibkan negara-negara untuk mendapatkan persetujuan sebelum mengeksport bahan berbahaya seperti asbestos.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menggesa pengharaman global terhadap asbestos dan berusaha meningkatkan kesedaran tentang risikonya.

Di Amerika Syarikat pula, Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) melarang produk tertentu yang mengandungi asbestos di bawah Akta Kawalan Bahan Beracun, sementara OSHA menetapkan had keterdedahan di tempat kerja dan menghendaki langkah perlindungan pekerja.

Kesatuan Eropah (EU) turut melaksanakan langkah-langkah ketat, termasuk Arahan Asbestos yang mengharamkan penggunaannya serta menetapkan had keterdedahan pekerjaan.

Sementara itu, Britain pula memperkenalkan Peraturan Kawalan Asbestos 2012 yang menghendaki pengenalpastian dan pengurusan asbestos dalam bangunan serta tempat kerja.

Australia pula telah melaksanakan larangan penuh terhadap asbestos sejak 2003, termasuk larangan import, penggunaan dan penjualan.

Kanada juga telah menguatkuasakan larangan sepenuhnya ke atas penggunaan dan pengimportan asbestos menerusi Peraturan Pengharaman Asbestos 2018.

Di Malaysia, asbestos telah disenaraikan sebagai bahan berbahaya oleh Jabatan Alam Sekitar.

Namun, kerana banyak kementerian terlibat dalam bidang kuasanya, pengharaman penuh memerlukan sokongan di peringkat Kabinet bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Langkah pencegahan dan kesedaran awam

Asbestos-Awareness-7-Asbestos-Facts-You-Need-to-Know

Walaupun banyak negara telah melaksanakan larangan dan peraturan ketat, asbestos masih menjadi cabaran kesihatan awam di peringkat global. — Gambar Hiasan/Agensi

Pencegahan pendedahan kepada asbestos adalah langkah kritikal dalam mengurangkan risikonya.

Mengenal pasti bahan asbestos dalam bangunan adalah penting dan pakar bertauliah harus dilantik untuk menjalankan pemeriksaan bagi supaya dapat membantu menggunakan bahan tersebut.

Di tempat kerja, majikan mesti mematuhi peraturan, memantau kualiti udara dan menyediakan peralatan perlindungan.

Kempen pendidikan dan kesedaran dapat membantu komuniti dan pekerja memahami risiko pendedahan kepada asbestos serta kepentingan amalan pengendalian yang selamat.

Individu yang diketahui terdedah kepada asbestos harus menjalani pemeriksaan perubatan berkala bagi pengesanan awal keadaan berkaitan asbestos.

Walaupun banyak negara telah melaksanakan larangan dan peraturan ketat, asbestos masih menjadi cabaran kesihatan awam di peringkat global.

Negara membangun, di mana penggunaan asbestos masih berleluasa, menghadapi risiko yang lebih tinggi.

Usaha kolaboratif melibatkan kerajaan, industri dan organisasi kesihatan awam adalah penting untuk membasmi bahaya asbestos serta melindungi generasi akan datang.

Dengan terus mendapatkan maklumat dan memperjuangkan kawalan yang lebih ketat, kita dapat berusaha ke arah dunia yang lebih selamat dan bebas asbestos. — The Star/DR HELMI HAJA MAIDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram