WANITA berusia 29 tahun direman hingga Rabu bagi membantu siasatan kes pembuangan bayi perempuan di kedai makan yang terletak di Sanglang, Kangar, Perlis pada 19 Januari lepas.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, penahanan suspek dibuat sekitar pukul 2.55 pagi Isnin di sebuah rumah di Simpang Empat selepas memperoleh maklumat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.
Yusharifuddin berkata, wanita itu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, tinggal bersama empat anaknya yang masih kecil manakala suaminya dalam tahanan di sebuah Pusat Tahanan Serenti.
BACA LAGI: [VIDEO] Iran perkenal dron terkuat diberi nama Gaza, mampu terbang sejauh 1,000km
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sekeping kad SIM telefon, gunting, cadar serta sampel uri yang sudah pun dibakar oleh suspek,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Yusharifuddin berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan mengaku terbabit dengan kejadian itu.
“Suspek berkata, dia melahirkan seorang bayi perempuan tanpa ditemani atau bantuan sesiapa dalam tandas sebuah rumah di Jalan Tok Pulau, Kampung Permatang Kersek di Simpang Empat pada 18 Januari sekitar pukul 6.30 petang.
“Kira-kira 10 jam kemudian, suspek pergi ke sebuah kedai makan di Kampung Rama, Sanglang dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kuning milik rakannya dan meninggalkan bayi yang baharu dilahirkannya di premis berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Yusharifuddin berkata, bayi dalam keadaan sihat serta masih dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dan berada di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram