
PENDUDUK setempat digemparkan dengan penemuan 34 serpihan dipercayai tulang manusia yang ditemui di tepi Pantai Batu Burok 2, Kuala Terengganu, Terengganu pada Khamis malam.
Memetik laporan Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat dan laporan berhubung penemuan itu daripada orang awam sekitar pukul 10.10 malam.
Susulan itu, Azli berkata, siasatan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) di tempat kejadian yang dilakukan bersama Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu.
BACA LAGI: [VIDEO] Ajal di tiang telekomunikasi, juruteknik maut tersentuh kabel berkuasa tinggi di Jawa Timur
“Tempat kejadian dalam kawasan semak, di tepi longkang kering tidak berair iaitu di tepi pantai berjarak 40 meter dengan gigi air semasa air pasang.
“Lokasinya iaitu di belakang kawasan Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) yang ditinggalkan dan tidak lagi dihuni,” katanya.
Tambahnya lagi, persekitaran kawasan terbabit berada dalam keadaan gelap berikutan tiada sumber pencahayaan sewaktu siasatan dijalankan.
"Semua ketulan dan serpihan tulang ditemui itu dikumpulkan untuk siasatan dan akan dihantar ke Unit Patologi dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Bagaimanapapun, Azli berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan kawasan sekitar sama ada perkuburan lama atau milik persendirian.
“Usaha mengesan identiti mangsa bergantung kepada hasil pemeriksaan perubatan dan kimia seperti jantina, tempoh kematian dan lain-lain maklumat yang akan diperolehi kemudian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan kita meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penemuan rangka berkenaan dan siasatan berhubung penemuan rangka itu masih dalam siasatan polis,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor dilaporkan berkata, Pakar Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Siti Wira Md Yaro, mengesahkan tulang-tulang yang diterima daripada pihak polis adalah bukan tulang manusia.
Pengesahan itu dibuat selepas memperoleh hasil bedah siasat selama dua jam bermula pukul 9 pagi Jumaat.
Justifikasi itu dibuat berasaskan terdapat berbezaan daripada bentuk, ketebalan, panjang serta tiada kesamaan dengan mana-mana tulang rangka manusia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram