
SEORANG wanita berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan lori tentera dalam kejadian di Kem 96 Pangkalan Peluru, Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka pada awal pagi Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed berkata, kereta dipandu mangsa, Manisya Azlin Ishak dipercayai hilang kawalan dan bertembung dengan lori tentera di laluan bertentangan sekitar pukul 2.24 pagi.
"Akibat perlanggaran tersebut, mangsa yang bekerja sebagai operator pusat panggilan syarikat telekomunikasi itu tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
BACA LAGI: [VIDEO] Ajal di tiang telekomunikasi, juruteknik maut tersentuh kabel berkuasa tinggi di Jawa Timur
Azrul berkata, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Alor Gajah membantu mengeluarkan mangsa sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.
Mengulas lanjut, Azrul berkata, pemandu lori tentera yang mengalami patah tangan telah dihantar ke hospital untuk dirawat manakala empat anggota tentera lain yang berada dalam lori itu tidak mengalami kecederaan.
Tambahnya lagi, kenderaan yang terlibat dalam nahas itu akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi pemeriksaan teknikal.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram