
RAMAI warganet berasa sebak melihat detik-detik sebuah bot karam sewaktu cuba memindahkan mangsa banjir di kawasan Kemunting, Bintulu, Sarawak.
Warga tempatan, Patricia Therisa Sunam yang dipercayai terperangkap di dalam sebuah rumah di kawasan tersebut sempat merakam detik itu sebelum dimuat naik dan menjadi tular di media sosial.
Dalam rakaman itu, dilihat beberapa mangsa yang berada di dalam bot terjatuh dan dihanyutkan ke air banjir yang deras.
BACA LAGI: [VIDEO] Iran perkenal dron terkuat diberi nama Gaza, mampu terbang sejauh 1,000km
Saksi kejadian, Celine, meluahkan bahawa dia tidak dapat menahan air mata menyaksikan bencana alam itu di hadapan matanya.
"Bot karam dalam masa tiga minit sahaja. Saya menangis dan menjerit meminta pertolongan kerana arus sangat deras. Tiada siapa berani menghampiri kawasan itu kerana hanya bot berkuasa tinggi mampu meredah arus deras," katanya.
Bagaimanapun, Celine berkata, tindakan pantas pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya menyelamatkan kesemua mangsa yang dihanyutkan arus deras.
“Kami bersyukur kerana bantuan tiba tepat pada masanya. Bukan sahaja mangsa yang hanyut berjaya diselamatkan, malah kami yang terperangkap juga dibantu,” tambah Celine. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram