
SEORANG penyewa meluahkan rasa kesal apabila pemilik rumah didakwa enggan memulangkan duit deposit sewa bilik walaupun sudah hampir sebulan keluar dari rumah tersebut.
Wanita berkenaan, Kherry Khairiah berkata, pemilik rumah yang disewanya itu sepatutnya memulangkan deposit berkenaan pada 5 Januari lepas.
"Saya sudah tidak tahu apa lagi yang boleh dilakukan. Saya keluar dari rumah itu secara baik, tetapi pemilik rumah masih menahan deposit saya. Sudah hampir sebulan dia mendiamkan diri.
"WhatsApp tidak dibalas, panggilan telefon juga tidak dijawab. Saya tidak akan halalkan setiap sen,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
BACA LAGI: [VIDEO] Iran perkenal dron terkuat diberi nama Gaza, mampu terbang sejauh 1,000km
Kherry juga mendedahkan bahawa pada 11 Januari, pemilik rumah terbabit hanya membuat bayaran sebanyak RM100 dengan janji untuk melunaskan baki pada minggu berikutnya.
Namun, sehingga kini, bayaran penuh masih belum diterima dan pemilik rumah terus menghilangkan diri.
Kherry yang kini berdepan kesukaran dalam memenuhi keperluan harian seperti makanan, merayu agar wangnya dikembalikan.
Bagaimanapun, rayuannya tidak diendahkan oleh pemilik rumah berkenaan.
Sementara itu, seorang pengguna media sosial lain, yang dikenali sebagai Norasiah turut berkongsi pengalaman serupa apabila menghadapi kesukaran mendapatkan semula deposit daripada pemilik rumah yang disewanya.
“Saya pun baru sahaja mengalami perkara yang sama. Saya menunggu hampir dua minggu untuk mendapatkan semula deposit, tetapi masuk minggu ketiga, pemilik rumah mula memberi pelbagai alasan seperti katil rosak.
"Sedangkan, semasa saya masuk rumah itu, dia hanya menyerahkan kunci di depan rumah tanpa memeriksa bilik pun.
"Tiba-tiba menuduh macam-macam. Selepas saya mengugut untuk membuat laporan polis, barulah dia membayar deposit penuh,” katanya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa dan pemilik rumah terbabit berhubung isu itu, selain lokasi kejadian juga tidak dapat dipastikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram