
DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan operasi penguatkuasaan besar-besaran untuk merobohkan struktur haram dan mengambil tindakan terhadap peniaga asing yang beroperasi tanpa lesen di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Operasi yang dijalankan secara bersepadu ini dilaksanakan dalam dua fasa berasingan.
Dalam operasi pertama, struktur haram di sembilan premis perniagaan yang menghalang ruang awam telah dirobohkan.
BACA LAGI: [VIDEO] Gen Z sanggup berhabis untuk 'travel' berbanding membeli barangan mewah
DBKL memastikan semua serpihan daripada struktur tersebut dibersihkan sepenuhnya selepas operasi tamat. — Facebook/DBKL
DBKL memastikan semua serpihan daripada struktur tersebut dibersihkan sepenuhnya selepas operasi tamat.
DBKL dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, tindakan itu diambil selaras dengan peruntukan di bawah Akta Jalan, Saliran dan Bangunan 1974.
Pada fasa kedua, enam notis kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga di Jalan Alor yang didapati beroperasi tanpa lesen sah atau menggaji pekerja asing, yang melanggar Undang-Undang Kecil Lesen Penjaja (WPKL) 2016.
Dalam operasi ini, barangan perniagaan milik lapan peniaga turut disita.
Operasi tersebut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Imigresen, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Alam Flora.
Dalam pada itu, media melaporkan Jabatan Imigresen menahan seramai 176 warga asing yang kini disiasat atas kesalahan melebihi tempoh tinggal dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Tindakan susulan
Selain operasi di Bukit Bintang, DBKL juga menjalankan operasi khas di Wangsa Maju pada 22 Januari lalu, yang menyasarkan perniagaan cuci kereta kendalian warga asing dan peniaga tepi jalan.
Lima premis cuci kereta, seorang peniaga air kelapa dan seorang penjual goreng pisang dikenakan tindakan tegas dengan barangan perniagaan mereka disita kerana beroperasi tanpa lesen sah.
Tindakan itu diambil di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Perniagaan dan Industri (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 serta Undang-Undang Kecil Lesen Penjaja (2016).
Semua barangan disita telah dihantar ke pusat penyimpanan DBKL di Taman Miharja untuk tujuan dokumentasi dan pemprosesan lanjut.
DBKL menegaskan bahawa penguatkuasaan secara berkala akan terus dijalankan di seluruh Kuala Lumpur untuk memastikan pematuhan undang-undang dan menjaga ketenteraman awam. — The Star/SHALINI DAVINDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram