SEORANG wanita warga emas maut diserang sekumpulan anjing liar yang berkeliaran di Terminal Bas Kunak dekat Kunak, Sabah pada Sabtu lalu.
Mangsa berusia lingkungan 60-an dipercayai diserang kira-kira 11 ekor anjing berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kira-kira pukul 1.49 pagi.
Berdasarkan CCTV di lokasi itu yang tular di aplikasi WhatsApp juga, mangsa dikerumuni sekumpulan anjing sebelum haiwan terbabit menyerangnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Misteri kematian wanita ada kesan luka terjawab lepas suami jalani ritual Dayak Kalimantan
BACA LAGI: [VIDEO] Mayat wanita Indonesia disumbat dalam bagasi, ditemukan tak sempurna ketika buang sampah
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira 6.30 pagi hari yang sama.
Katanya, maklumat berkenaan mengatakan menemukan satu mayat wanita di kawasan terminal bas berkenaan.
"Siasatan awal oleh pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak mendapati satu mayat wanita dalam keadaan terbaring dan tidak berpakaian.
"Terdapat kesan luka dipercayai kesan gigitan anjing liar di bahagian tangan kiri, kepala, dada kanan, kedua-dua bahagian pinggang dan kedua-dua kaki mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
"Pemeriksaan lanjut mangsa dikatakan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dipercayai bukan berasal dari Kunak.
"Proses bedah siasat dijalankan di Hospital Tawau, Sabah dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
Terdahulu, tular beberapa gambar dan video memaparkan keadaan mangsa yang berlumuran darah dan putus tangan kanannya selepas diserang sekumpulan anjing liar di terminal bas tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram