[VIDEO] Gara-gara berebut angpau, 4 maut sesak nafas kena himpit di Kemboja


  • Benua
  • Jumaat, 24 Jan 2025

Empat orang maut akibat dihimpit dan sesak nafas pada Khamis lalu di rumah besar milik Sok Kong di pusat bandar Phnom Penh, Kemboja.

SEKURANG-KURANGNYA empat orang maut akibat dihimpit dan sesak nafas pada Khamis lalu selepas orang ramai berkumpul di rumah hartawan tempatan untuk menerima sampul merah (angpau) Tahun Baharu Cina yang berisi wang.

Menerusi media sosial, tular rakaman video yang memaparkan ratusan orang saling bertolak-tolakan di hadapan pintu pagar rumah besar milik Sok Kong di pusat bandar Phnom Penh, Kemboja.

"Taikun Sok Kong memberikan hadiah dan ramai orang datang ke rumahnya dengan harapan dapat menerimanya.

"Sesetengah warga emas yang mengalami masalah kesihatan terjatuh ketika mereka menolak untuk mendapatkan sampul berkenaan dan setakat ini empat orang iaitu dua lelaki dan dua wanita disahkan meninggal dunia," kata jurucakap Polis Phnom Penh, Sam Vicheka.

Tambahnya lagi, lima orang lagi sedang menerima rawatan di hospital.

Tidak jelas berapa banyak wang dalam setiap sampul merah, yang sering diberikan oleh keluarga kaya di Kemboja menjelang Tahun Baharu Cina.

Sok Kong, yang mengaut kekayaannya dalam perniagaan petrol dan membina empayar hiburan serta perhotelan, adalah antara orang terkaya di Kemboja.

Media tempatan melaporkan bahawa gabenor Phnom Penh dan Sok Kong telah berjanji untuk memberikan sejumlah 15 juta riel (kira-kira RM16,100) kepada keluarga setiap orang yang telah meninggal dunia dan sekitar RM4,300 akan diberikan kepada setiap individu yang cedera. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram