SEORANG warga emas didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor pada Jumaat atas tuduhan mencederakan kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin, mengenakan denda itu selepas tertuduh, Koh Soon Hua, 60, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin.
Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, Soon Hua itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Suzaini Mohd Taib di PUSPAKOM dekat Jalan Bertam 23, Johor Bahru kira-kira pukul 5.40 petang, 18 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes di JB, Staf Puspakom kena lempang dengan pelanggan.
Katanya punca kena lempang sebab Staf Puspakom gagalkan pemeriksaan lori pelanggan yang tak mencapaikan spesifikasi standart.
Kesian Puspakom, diancam dengan kekerasan. Bila jadi apa2 kat jalanraya dikecam netizen. pic.twitter.com/ncmhemjlzI
— ꪖƺꪖƺꫀꪶ ✯ (@AzazelLazza) January 15, 2025
Namun, Soon Hua yang tidak diwakili peguam bela, memohon hukuman ringan atas alasan tidak lagi bekerja dan hidup ditanggung anak lelakinya, selain turut mempunyai masalah kesihatan iaitu darah tinggi.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif.
Pada 16 Januari lalu, media melaporkan, hanya kerana lorinya gagal dalam pemeriksaan Puspakom, seorang lelaki bertindak menampar seorang kakitangan Puspakom Johor Bahru, November lalu.
Polis mengesahkan kejadian terbabit berlaku pukul 5.40 petang pada 18 November tahun lalu dan laporan polis diterima daripada mangsa iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang juga kakitangan PUSPAKOM.
Siasatan polis mendapati lelaki terbabit bertindak menampar mangsa kerana berang lorinya gagal dalam pemeriksaan dijalankan mangsa. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram