
SEORANG lelaki dipercayai membunuh ibu saudaranya yang mayatnya ditemui di dalam sebuah rumah di Ipoh, Perak pada Ahad.
Pemangku Ketua Polis Perak, Timbalan Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, anak saudara wanita itu, 21, dipercayai hilang sabar terhadap mangsa dan menyerangnya sebelum menyimpan mayat wanita malang tersebut di dalam bilik sebuah rumah di Taman Puteri Lindungan Bintang di Pasir Puteh.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
"Mereka tinggal bersama. Suspek hilang sabar, marah dan menumbuk wanita itu bertubi-tubi sehingga terjatuh dari tangga.
“Menganggap mangsa hanya tidak sedarkan diri, mayat wanita itu kemudian dimasukkan ke dalam sebuah bilik.
“Suspek telah pun mengaku melakukan kesalahan itu,” katanya dalam sidang media pada Isnin.
Mayat mangsa ditemui sudah dalam keadaan reput selepas dipercayai ditinggalkan selama empat hari. — Polis
Mangsa, 54, ditemui mati oleh polis pada Ahad yang menerima panggilan mengenai perkara tersebut kira-kira pukul 8.30 pagi.
Ketika ditemui, mayat wanita terbabit sudah dalam keadaan reput dan dipercayai berada di dalam bilik berkenaan selama empat hari.
“Abang mangsa telah mencarinya tetapi diberitahu oleh suspek dia telah berkurung di dalam bilik.
“Abang wanita itu juga telah terhidu bau busuk sebelum menghubungi polis,” katanya sambil menambah bahawa perintah reman terhadap suspek sedang diperoleh di mahkamah.
Ujar Zulkafli, bedah siasat masih diteruskan untuk mengenal pasti punca kematian.
Dalam insiden berasingan mengenai kejadian seekor harimau digilis lori di Lebuhraya Timur-Barat di Gerik, Zulkafli berkata, pihaknya akan membantu siasatan dibuat oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak.
“Kami akan membantu PERHILITAN mengesan pemandu lori berkenaan.
“Kami tidak menerima sebarang laporan daripada pemandu, hanya dari PERHILITAN,” katanya. — The Star/IVAN LOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram