SEBUAH ladang penternakan ayam di Kampung Ladang Batu, Tanjong Sepat, Kuala Langat, Selangor diarahkan ditutup selepas sudah dikenakan denda sebanyak tiga kali sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima aduan penduduk yang mengatakan ladang itu meningkatkan jumlah lalat di kawasan berkenaan.
"Sebelum ini, kami sudah memanggil agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, pihat berkuasa tempatan, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Tanah, peladang serta wakil penduduk untuk membincangkan isu berkenaan.
BACA LAGI: Taska terlibat kes kematian bayi di Bandar Saujana Putra ditutup sepenuhnya
BACA LAGI: [VIDEO] Tol percuma semasa perayaan termasuk Aidilfitri mungkin tak dilaksana tahun ini — Nanta
Borhan Aman mahu pengusaha ladang peka akan keadaan sekeliling.
"Ketika itu, kami memutuskan bahawa tindakan boleh diambil terhadap pengusaha yang melanggar peraturan. Jadi, setiap ladang yang dikenakan denda tiga kali perlu dihentikan operasi.
"Tindakan tegas perlu diambil. Jika tidak, pengusaha akan memandang remeh setiap aduan," kata Borhan Aman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Sepat.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu yang memberi kesan terhadap penduduk di kawasannya dalam sesi sidang media pembukaan semula Muzium Sultan Alam Shah di Kuala Langat, Selangor.
Jelas Borhan lagi, pihaknya sebelum ini sudah bertemu peladang dan meminta panduan mengenai cara terbaik untuk menjalankan operasi masing-masing.
"Sebagai contoh, kami meminta tunjuk ajar mengenai racun perosak yang sesuai digunakan, tetapi ia hanya berkuat kuasa sementara. Kami tiada sebarang bantahan terhadap operasi mereka, namun masing-masing perlu sedar akan keluhan penduduk.
"Peladang perlu mengambil tahu isu dialami penduduk sekitar," katanya sambil memberitahu terdapat kira-kira 11 ladang penternakan di kawasan berkenaan.
Dilaporkan, terdapat 104 keluarga atau kira-kira 500 isi rumah di kampung berhampiran yang terkesan dengan kehadiran lalat sejak tiga tahun lalu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram