EMPAT pelajar wanita Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer (KM) 187.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, Jasin, Melaka selepas kereta dinaiki mangsa terbabas lalu merempuh besi pengadang pada pagi Khamis (26 Disember).
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata, dua penumpang di hadapan dan belakang sebelah kiri kereta jenis Perodua Myvi itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
Kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan, 19, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan serius di kepala.
BACA LAGI: Polis terima laporan penemuan baharu bangkai kucing, anjing di UM
Beliau berkata, dua lagi mangsa membabitkan pemandu kereta itu, Nur Hanis Suraya Supiyan, 20, serta penumpang belakang sebelah kanan, Azwalidiya Azman, 21, masing-masing cedera di kaki dan luka ringan.
"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu hanya membabitkan sebuah Perodua Myvi yang terbabas sendiri di lokasi dan tiada kenderaan lain.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Johor menghala ke Melaka itu terbabas sehingga melanggar besi pengadang jalan sebelah kiri," katanya.
Beliau berkata, punca kemalangan dipercayai akibat gagal mengawal kenderaan tetapi siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, mayat dua mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Jasin, untuk bedah siasat, manakala dua lagi yang cedera dirawat di Bahagian Kecemasan, Hospital Melaka.
Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Hanif Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.23 pagi Khamis. — The Star/RSN MURALI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram