TIGA suspek pencuri kenderaan terbunuh selepas terlibat dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak polis di Persiaran Kota Emerald, Rawang, Selangor pada Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihak polis telah menjalankan operasi yang diberi nama 'Ops Lejang' dan cuba menangkap mereka sekitar tengah hari Sabtu.
"Anggota polis cuba menghentikan suspek dan memperkenalkan diri, namun mereka sebaliknya melepaskan tembakan. Kejaran bermula sejauh kira-kira 750 meter di Kota Emerald.
"Apabila mereka terperangkap, suspek melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang memaksa polis untuk membalas tembakan sehingga menyebabkan mereka terbunuh," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Sabtu.
BACA LAGI: MOT kuat kuasa larangan pergerakan kenderaan bawa barangan sempena Tahun Baharu Cina
Shuhaily berkata, kumpulan pencuri tersebut menggunakan kereta sewa dan nombor pendaftaran palsu untuk melakukan kegiatan curi kenderaan.
"Kami percaya mereka cuba untuk melakukan curi kenderaan lagi apabila polis berjaya mengejar mereka.
"Mereka sudah mencuri enam buah kenderaan tahun ini. Dua daripada suspek telah dikenal pasti berusia 40 dan 43 tahun," tambahnya.
Kenderaan dipercayai milik suspek yang memiliki rekod jenayah lampau.
Shuhaily berkata, kedua-dua suspek tersebut mempunyai rekod jenayah dengan pelbagai kesalahan, manakala polis masih dalam proses untuk mengenal pasti suspek ketiga.
"Suspek yang lebih muda mempunyai 24 kesalahan lampau dan dikehendaki bagi lima kes.
"Suspek berusia 43 tahun pula mempunyai 44 kesalahan dan sedang dikehendaki bagi enam kes jenayah serta satu kes dadah," katanya.
Tambahnya lagi, suspek ketiga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
"Pihak polis turut merampas sepucuk pistol semi-automatik, dua topeng muka, lima nombor pendaftaran yang dipercayai palsu, sebuah peranti untuk mematikan sistem keselamatan kenderaan dan dua parang.
"Kami akan menguji pistol tersebut untuk melihat sama ada ia digunakan dalam kes jenayah lain," katanya. — The Star/ FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram