
KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mengkaji secara menyeluruh pelaksanaan mewajibkan syarikat pengendali umrah mempunyai jaminan bank sekurang-kurangnya RM250,000.
Motac berkata, dasar yang akan dimuktamadkan kelak itu diharapkan dapat dikuatkuasakan secepat mungkin.
"Untuk pengendali berskala besar pula, jaminan bank ini akan dinaikkan mengikut saiz operasi syarikat mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
BACA LAGI: MOT kuat kuasa larangan pergerakan kenderaan bawa barangan sempena Tahun Baharu Cina
Terdapat aduan dibuat berkaitan tindakan pengendali yang gagal menguruskan perjalanan mereka mengerjakan umrah.
Katanya lagi, langkah berkenaan dibuat susulan kes penipuan yang semakin kerap dan serius dengan jaminan bank bagi syarikat pengendali termaktub dalam Peraturan-peraturan Industri Pelancongan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
"Langkah tersebut bertujuan memastikan perkhidmatan yang berkualiti dan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.
"Misalnya apabila berlaku penipuan, dana daripada jaminan bank ini akan digunakan untuk memberi pampasan kepada mangsa yang terjejas," katanya.
Kenyataan itu turut menegaskan yang Motac tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen mereka serta-merta tanpa kompromi sekiranya ada syarikat yang tidak dapat memenuhi keperluan berkenaan.
Motac meluahkan rasa kecewa kerana masih ada syarikat yang terus mengabaikan tanggungjawab meskipun tindakan telah diambil terhadap pengendali yang gagal mematuhi undang undang sebelum ini.
"Motac menegaskan dan mengulangi komitmen untuk melindungi kepentingan jemaah umrah dengan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat pengendali yang gagal mematuhi keperluan serta peraturan yang ditetapkan," katanya.
Pada Jumaat, seramai 135 mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang telah hadir ke kementerian itu di Putrajaya bagi tujuan aduan tentang pengendali yang gagal menguruskan perjalanan mereka mengerjakan umrah.
Perkara itu jelas menunjukkan isu berkenaan tidak boleh lagi dibiarkan berlarutan.
Dalam kenyataan itu, Motac sebelum ini sudah mengadakan sesi libat urus bersama wakil persatuan pengendali umrah iaitu Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) serta Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH).
"Kementerian tiada pilihan selain bertindak tegas bagi melindungi hak dan kepentingan jemaah umrah.
"Kepercayaan rakyat terhadap industri umrah harus dipulihkan dan pengendali yang cuai atau tidak bertanggungjawab tidak akan diberi ruang untuk terus beroperasi," katanya.
Motac turut menyeru semua pengendali umrah untuk mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan yang bukan sahaja untuk menjaga kepentingan rakyat tetapi juga untuk memastikan integriti dan kredibiliti industri umrah di Malaysia terus kekal diyakini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram