Kelipan mata bantu otak rehat mikro, tingkatkan fokus ketika membaca


  • Sihat
  • Sabtu, 18 Jan 2025

Berkelip semasa membaca boleh berfungsi sebagai cara untuk otak anda berehat seketika di tengah-tengah memproses maklumat sastera.

SELAMA ini, berkelip dianggap hanya berfungsi untuk melembapkan kornea dan membersihkan mata daripada habuk atau zarah.

Namun, kajian dari Belgium mendapati bahawa refleks berkelip itu mungkin juga memberi kesan kepada fungsi otak dan tumpuan perhatian.

Sejak lapan dekad lalu, beberapa kajian telah mencadangkan bahawa berkelip secara spontan tidak hanya memenuhi fungsi biologi tetapi juga memainkan peranan kognitif yang penting.

BACA LAGI: Persis filem, rumah mewah pesara mogul pengurusan sampah 'still standing' tak dijilat api kebakaran LA

BACA LAGI: MOT kuat kuasa larangan pergerakan kenderaan bawa barangan sempena Tahun Baharu Cina

6080088449228062794

Berkelip boleh memberi kesan kepada fungsi otak dan tumpuan perhatian.

Pada tahun 1945, Profesor Perubatan dari Universiti Sheffield, Prof Dr. Arthur Hall mula mengemukakan idea itu selepas mengamati kekerapan berkelip individu yang kuat membaca.

Beliau mendapati bahawa mereka lebih cenderung berkelip terutamanya ketika mata bertemu dengan ruang antara perkataan.

Hall berkata, tindakan itu mungkin berkaitan dengan keperluan rehat kognitif ketika membaca.

Satu pasukan penyelidik yang diketuai oleh Penolong Profesor Dr. Louisa Bogaerts dari Universiti Ghent telah mengkaji hipotesis itu dalam kajian terbarunya.

Mereka menggunakan data daripada kajian Ghent Eye Tracking Corpus, sebuah protokol eksperimen di mana 15 sukarelawan dipantau ketika membaca novel Agatha Christie secara senyap.

Dalam empat sesi membaca, penyelidik merekodkan sejumlah 30,367 kelipan mata.

Kelipan mata itu ternyata tidak bersifat rawak.

Dr. Bogaerts dan rakan-rakan penyelidiknya mendapati bahawa peserta kurang berkelip selepas membaca perkataan yang sering muncul dalam teks.

Mereka lebih kerap berkelip setelah membaca perkataan yang jarang ditemui.

"Adalah wajar untuk mengatakan bahawa selepas menemui perkataan dengan frekuensi rendah, peserta lebih sering memerlukan rehat kognitif, yang menghasilkan kesan pasca-usaha," jelas penyelidik dalam kertas kajian mereka yang diterbitkan di laman prapelaporan PsyArXiv.

Tambahan pula, saat-saat rehat mata itu bersamaan dengan petunjuk semula jadi dalam teks.

Kadar kelipan meningkat sebanyak 4.9 kali berhampiran tanda baca, 3.9 kali di hujung baris dan 6.1 kali apabila kedua-duanya digabungkan.

Ini menunjukkan bahawa kelipan adalah seiring dengan struktur teks yang memberi peluang untuk otak mengintegrasi maklumat dengan lebih baik.

Penemuan itu mengungkapkan betapa pentingnya tindakan semudah berkelip.

Dengan menyelaras rehat mikro itu, otak kita dapat mengoptimumkan sumbernya untuk menguruskan aliran maklumat yang diterima.

Jadi, berkeliplah tanpa ragu kerana ia adalah refleks yang bermanfaat untuk diri sendiri. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram