LELAKI berusia dalam lingkungan-40-an ditahan selepas nekad membunuh ibu saudaranya yang sudah tua dan uzur kerana tidak mahu menjaganya dalam kejadian di Bintulu, Sarawak.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, jenayah itu dilakukannya suspek bersama rakannya yang merupakan warga asing.
Nixon berkata, tangkapan ke atas kedua-dua suspek itu dilakukan dalam tempoh empat jam selepas laporan diterima pada Rabu.
“Motif kejadian dipercayai akibat suspek sudah tidak mahu menjaga mangsa yang telah uzur dan selalu mendatangkan masalah kepadanya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya lagi, permohonan tahanan reman dibenarkan selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Bintulu untuk siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Nixon berkata, mangsa iaitu wanita berusia 80 tahun dijumpai meninggal dunia dipercayai dibunuh di rumahnya di kawasan Tubau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram