[VIDEO] Wanita, remaja 15 tahun cedera kereta kena hempap pokok tua tumbang di Kuala Lumpur


  • 112
  • Khamis, 16 Jan 2025

Kejadian pokok tumbang di Hotel Swiss-Garden Bukit Bintang, Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada pagi Khamis.— DBKL

SEORANG wanita dan remaja perempuan tercedera selepas sebatang pokok menghempap mereka sewaktu berada berhampiran Hotel Swiss-Garden Bukit Bintang, Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada pagi Khamis.

Dua beranak itu cedera apabila kereta jenis Honda City dinaiki mangsa dihempap pokok tumbang sebelum diselamatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Komander Operasinya, Md Izzat Ahmad berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian pada pukul 10.44 pagi.

BACA LAGI: Empat hari hilang lepas keluar rumah bersendirian, warga emas dari Johor Bahru ditemukan lemas di Pulau Pangkor

BACA LAGI: Dari jurutera awam ke pemanah berkuda, Shaidin turunkan ilmu kepada anak sehingga menjadi juara

Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah serta Pudu membabitkan kekuatan 15 anggota dikejarkan ke lokasi.

"Kejadian membabitkan dua mangsa iaitu seorang wanita dan seorang remaja perempuan mengalami cedera ringan sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pokok yang tumbang sekitar pukul 10.44 pagi itu telah menghalang laluan di dua lorong Jalan Pudu.

Susulan itu, DBKL menasihatkan pengguna jalan raya di kawasan Pudu supaya menggunakan laluan alternatif yang ada.

"DBKL bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis berada di tapak untuk kerja pembersihan dan pengurusan trafik.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dan mengikut arahan pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat KL berkata, wanita berusia 39 tahun dan remaja yang berusia 15 tahun itu kedua-duanya telah dihantar ke hospital. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram