KPM nafi dakwaan kertas Sejarah SPM bocor, dakwaan di media sosial tak berasas


  • Primer
  • Khamis, 09 Jan 2025

KPM meminta kesemua calon SPM 2024 supaya kekal fokus dan tidak mengendahkan segala isu di media sosial.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan di media sosial kononnya terdapat isu kebocoran kertas peperiksaan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain mengatakan perkara itu tidak berasas.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, kementerian tersebut mengatakan siasatan lanjut sudah dilancarkan dengan mengambil kira semua sebaran dan tangkap layar yang dimuat naik.

"KPM mendapati bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas. Tangkap layar yang ditularkan hanya mengandungi senarai tajuk dalam buku teks Sejarah yang dijadikan ramalan.

BACA LAGI: Terkandas banjir, 4 calon SPM sanggup redah naik bot bomba ke sekolah di Beluran

BACA LAGI: Amalan 'mahal' elak lupa hafalan, bukan setakat calon SPM, ibu bapa pun boleh buat

Gg0D4rUaMAA9Kb2

KPM mengeluarkan kenyataan yang membidas soalan Sejarah SPM bocor di media sosial.

"Tiada sebarang soalan dalam kertas peperiksaan Sejarah Kertas 1 dan Kertas 2 SPM 2024 dipaparkan dalam mana-mana sebaran dan tangkap layar yang ditularkan," tulisnya pada Khamis.

Sebelum ini, tular di pelbagai platform media sosial mengatakan terdapat pelajar yang berkongsi soalan dan jawapan dalam Kertas 1 dan Kertas 2 bagi subjek berkenaan beberapa hari sebelum ia diduduki calon.

Spekulasi itu menyebabkan orang ramai mula berasa sangsi terhadap ketelusan KPM dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang gagal mengatasi isu tersebut daripada berlaku.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan KPM, maklumat yang dikongsikan di media sosial itu tidak boleh dilabel sebagai kebocoran kerana hanya mengandungi senarai tajuk yang hanya dijadikan ramalan.

"Justeru, dakwaan ini tidak menepati definisi kebocoran yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan KPM.

"Semua calon peperiksaan SPM dinasihatkan untuk kekal tenang dan fokus dalam menghadapi peperiksaan. KPM sentiasa komited memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam adalah terpelihara dan kepentingan serta keadilan kepada semua calon peperiksaan SPM 2024 terjamin," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram