Tiga maut, kereta terbabas masuk kolam takungan banjir di Kota Tinggi


  • 112
  • Ahad, 12 Jan 2025

Anggota JBPM melakukan operasi menyelamatkan mangsa yang terkorban di Kota Tinggi. — Facebook/JBPM

TIGA mangsa menemui maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke kolam takungan banjir di Ladang YPJ, Ulu Sedili, Kota Tinggi pada Sabtu.

Mangsa dikenali sebagai Lee Choy Yeow, 49, Leong Kon Fatt, 72 dan seorang lagi yang terkorban, Lee Fook Wan tidak dapat dipastikan umurnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Shawaluddin Ami Nordin berkata, pihaknya menerima laporan sekitar 4.40 petang dengan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa dilakukan hampir lapan jam untuk diselesaikan.

BACA LAGI: Lelaki Nepal tikam rakan sedang tidur gara-gara tak puas hati keputusan perlawanan kriket

BACA LAGI: Polis sahkan ada unsur kecuaian, pengabaian sebab kematian bayi 4 bulan di taska Saujana Bandar Putra

Menurut Shawaluddin, dua mangsa didapati hilang dengan pihaknya perlu melakukan pencarian secara terperinci untuk menyelamatkan mereka.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) ke tempat kejadian berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan terbabas dan masuk ke kolam takungan banjir.

"Terdapat tiga mangsa terbabit, seorang mangsa telah ditemui dan dua lagi hilang, PKO membuat kaedah mencari di permukaan di sekitar kawasan.

"Operasi menyelamat dilakukan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dengan menggunakan kaedah ‘sweeper’ dan ‘focus point’. Mangsa kedua ditemui lebih kurang jam 11.10 malam dan mangsa ketiga dijumpai jam 12.10 tengah malam oleh pasukan PPDA," ujar Shawaluddin dalam satu kenyataan.

Operasi tersebut tamat pada 12.40 tengah malam dengan kesemua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram