SEORANG pegawai kanan sebuah syarikat penyiaran tempatan ditahan polis dipercayai bagi membantu siasatan berkaitan kes jenayah komersial pada Jumaat.
Individu berusia lingkungan 60-an itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di pejabatnya dekat Kuching, Sarawak.
Dia dibawa keluar dari pejabat syarikat penyiaran itu pada pukul 3 petang tadi, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
BACA LAGI : Bayi cedera dipercayai digigit, 3 individu termasuk pemilik taska ditahan di Kuching
BACA LAGI : [VIDEO] Baru nak santai bawa motosikal, lelaki terkejut jumpa mayat ada kesan calar di Sungai Damansara
Anggota polis turut dilihat membawa sejumlah dokumen daripada pejabat syarikat terbabit.
Sehingga kini tiada maklumat lengkap berhubung penahanan itu.
Memetik laporan portal iloveborneo, pegawai kanan tersebut baru sahaja pulang daripada menunaikan umrah sebelum penahanan itu dibuat.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pegawai kanan sebuah syarikat penyiaran tempatan antara lima individu termasuk dua anaknya, susulan Op Ragada yang dijalankan pada Jumaat.
"Pada Oktober 2024, pegawai polis menerima maklumat berkaitan aktiviti kewangan dan pemindahan mencurigakan (STR) yang dikenal pasti melalui beberapa akaun bank dalam tempoh 2017 hingga September 2024, sebelum membuat siasatan dan risikan.
"Suspek-suspek tersebut ditahan dalam satu operasi khas yang dijalankan oleh Bahagian Anti-Pengubahan Wang Haram (Amla), Sekretariat Ketua Polis Negara dalam operasi khas yang dinamakan 'Ops Ragada'," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Tambah beliau lagi, pegawai bahagian itu menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 61 tahun berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.
"Kami sedang menyiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," katanya.
Beliau berkata, siasatan dan penahanan susulan itu berjaya dilakukan melalui pengumpulan risikan yang dijalankan oleh bahagian berkenaan.
"Hasil siasatan mendapati terdapat transaksi kewangan mencurigakan antara tahun 2017 dan tahun lepas.
"Kami percaya suspek-suspek terlibat dalam pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah, serta pemberian tender projek secara tidak sah.
"Kami juga telah merampas beberapa barangan termasuk dokumen, kenderaan, dan akaun bank bernilai RM17.4 juta," katanya.
Terdahulu, dilaporkan seorang pegawai pengurusan kanan stesen televisyen telah ditahan di Kuching pada hari Jumaat.
Gambar penahanan individu tersebut telah tular di media sosial. Individu itu dilihat memakai topi dan pelitup muka. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram