[VIDEO] Polis tahan jurugambar pukul 2 pereka pakaian depan Datuk Vida


  • 112
  • Khamis, 09 Jan 2025

Tangkap layar video memaparkan situasi ketika duo pereka fesyen itu diserang dalam satu majlis pada Rabu.

SEORANG jurugambar lelaki berusia 30 tahun ditahan kerana didakwa menyerang dua pereka fesyen.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa masing-masing berusia 53 dan 47 tahun hadir di satu majlis di sebuah hotel dekat Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

“Suspek telah mencederakan mangsa di bahagian muka dan ditahan di tempat kejadian.

“Kami turut merampas sebuah kamera yang dipercayai digunakan sebagai senjata ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Shahrulnizam, suspek kini direman sehingga Jumaat.

6339278395417936467

Kecederaan dialami mangsa akibat kejadian serangan tersebut.

“Kami percaya terdapat isu peribadi antara suspek dan mangsa.

“Kami menyiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

"Suspek dijangka akan didakwa atas kesalahan itu pada Jumaat," katanya.

Sementara itu, media melaporkan mangsa yang juga duo pereka fesyen dikenali dengan nama Razman Razmi tidak menolak bahawa masalah hutang berkemungkinan menjadi punca mereka diserang secara tiba-tiba.

Kedua-dua mangsa juga dilaporkan mengenali suspek dan mengakui mempunyai hutan berjumlah RM20,000 berkaitan penjualan kereta dilakukan sekitar 2019.

Pada masa sama, duo itu yang turut mengiringi usahawan terkenal, Datuk Seri Vida ketika acara tersebut juga berkongsikan di media sosial kecederaan dialami mereka ekoran serangan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram