REMAJA lelaki berusia 16 tahun meninggal dunia akibat renjatan elektrik ketika berada di sebuah kedai serbaneka Indomaret di Desa Pecalukan, Kecamatan Prigen, Pasuruan, Jawa Timur Indonesia pada Jumaat.
Pada awalnya, mangsa yang dikenali sebagai Mat berada di lokasi bersama tiga orang rakannya untuk membeli-belah.
BACA LAGI: Cuma guna tulang ayam, artis muda Malaysia bijak hasilkan pameran seakan-akan tapak arkeologi di ibu negara
Ketua Siasatan Jenayah Prigen, Inspektor Polis Kedua Arief Bernadhy berkata, mangsa dan rakan-rakannya ketika itu sedang duduk bersantai di atas kerusi yang berada di kedai.
"Tiba-tiba tangan mangsa mencengkam pemegang folding gate dan terkena renjatan elektrik," katanya.
Rakan mangsa yang menyaksikan insiden tersebut cuba membantu mangsa, namun mendapati keadaannya sudah lemah sehingga disahkan meninggal dunia.
“Pada awalnya kami sangka dia bergurau, namun melihat keadaannya yang kejung, kami panik.
"Ketika itu, kami mengesyaki kematian mangsa berpunca daripada renjatan elektrik.
"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan," kata Arief.
Mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Kesihatan Prigen, Jawa Timur untuk tindakan lanjut.
Pihak polis dari balai Pasuruan turut menjalankan siasatan di tempat kejadian dan memasang garisan kuning bagi mengelakkan gangguan kepada siasatan.
Keterangan turut diambil daripada tiga saksi termasuk rakan mangsa dan pengawal keselamatan kedai serbaneka berkenaan bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian tragis itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram