Kes bunuh pelajar sekolah Ipoh: Pegawai penyiasat terima arahan tuduh DSP ikut Seksyen 302 KK


Mohd Nazri dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dua tahun lalu.

SEORANG pegawai penyiasat pada Selasa memberitahu Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak beliau menerima arahan agar suspek kes bunuh pelajar sekolah menengah di Meru Raya, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, 46, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dua tahun lalu.

Pegawai penyiasat kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Superintendan Chua Sze Yuan memberitahu bahawa beliau menerima arahan tersebut selepas memberikan taklimat awal kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 17 Disember 2023.

"Pada hari berikutnya iaitu 18 Disember 2023, selepas arahan tuduh diterima, saya menguruskan untuk proses pertuduhan di mahkamah.

BACA LAGI: Pegawai polis didakwa bunuh pelajar di Ipoh tukar pasukan peguam

BACA LAGI: Hasrat ke KL tak kesampaian, remaja maut mulut berbuih terkena renjatan elektrik ketika cas telefon pintar dalam bas di Pulau Pinang

ZAHARIF

Kenderaan tertuduh yang dipercayai digunakan bagi melanggar mangsa.

"Pertuduhan dibuat di Mahkamah Majistret 2 Ipoh. Sebelum dituduh, saya arahkan jurugambar untuk mengambil gambar dan cap jari (tertuduh)," katanya ketika membacakan pernyataan bertulisnya di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet dalam prosiding perbicaraan hari ke-19 pada Selasa.

Menurut saksi itu, beliau mengambil alih kes tersebut daripada pegawai penyiasat trafik, Inspektor Jong Pit Chao pada 16 Disember 2023, sehari selepas kejadian perlanggaran antara motosikal ditunggang Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, dan Perodua Ativa dipandu tertuduh atas arahan Ketua Polis Daerah Ipoh.

"Sebelum saya ambil alih, saya terima arahan untuk bantu Pit Chao pada 15 Disember 2023 pada sebelah malam kerana siasatan juga ada membabitkan aspek penyiasatan di bawah kendalian Jabatan Siasatan Jenayah dan tidak terhad kepada kendalian Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

"Semasa membantu Pit Chao, tindakan yang diambil adalah untuk membantunya mengambil rakaman percakapan saksi-saksi memandangkan terdapat saksi yang ramai dalam siasatan ini.

"Selain saksi, saya juga membantu beliau dalam merakam percakapan tangkapan yang dikenali sebagai Mohd Nazri Abdul Razak. Tangkapan dibuat pada 15 Disember 2023 pukul 8 malam oleh Pit Chao," katanya.

Dalam prosiding itu, Sze Yuan juga mengesahkan menerima beberapa barang kes berkaitan kejadian perlanggaran daripada Pit Cha seperti rakaman video kamera litar tertutup dan kamera papan kemuka kenderaan, pakaian mangsa, laporan polis dan kimia berhubung kes tersebut.

Prosiding perbicaraan disambung pada Khamis.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati, Ipoh antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pegawai kanan polis itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum sebatan 12 kali, jika sabit kesalahan. — The Star/ANNABELLE LAWRENCE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram