TERDAPAT kesan geseran dan koyakan pada pakaian pelajar 17 tahun selepas mangsa didakwa dilanggar dan digilis kenderaan Perodua Ativa dipandu seorang pegawai kanan polis, Disember tahun lalu.
Saksi pendakwaan ke 10 iaitu seorang remaja lelaki berkata demikian pada Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak pada Selasa.
Menurut saksi tersebut, mangsa Mohammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie memakai pakaian sukan sekolah ketika kejadian.
BACA LAGI : Disyaki bunuh ibu, anak lapor polis lepas simpan mayat dalam kotak ais sejak 3 tahun lalu
BACA LAGI : Langgar pelajar di Ipoh: Jantung mangsa terhenti 15 minit sebelum bantuan kecemasan tiba
"Zaharif memakai pakaian sukan berwarna merah jambu dan hitam. Pakaiannya koyak dan ada (kesan geseran tapak tayar).
"Dia juga memakai seluar panjang hitam tetapi saya tidak pasti sama ada dia memakai kasut atau selipar," kata saksi itu semasa pertanyaan balas oleh peguam bela M. Athimulan ketika hari keenam perbicaraan pada Selasa.
Saksi tersebut memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Supritendan (DSP) Mohd Nazri Abdul Razak, yang didakwa merempuh keretanya ke motosikal mangsa, sehingga membawa kepada kematian remaja itu.
Suspek, Mohd Nazri pertama kali didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada 18 Disember 2023.
Nazri didakwa membunuh Zaharif Affendi di persimpangan Jalan Taman Jati dan Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dekat Ipoh, Perak antara pukul 12.05 tengah hari dan 12.40 tengah hari pada 15 Disember.
Kes dibicarakan di hadapan Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet dan pasukan pembelaan termasuk bekas ketua polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Peguam, Afzainizam Abdul Aziz mengetuai pasukan pendakwaan yang terdiri daripada Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin Hui.
Athimulan telah bertanya kepada saksi sama ada dia pernah melihat Zaharif Affendi menunggang motosikalnya di kawasan itu pada hari-hari lain, dan kanak-kanak itu menjawab "kadang-kadang".
Dia juga bertanya sama ada saksi melihat mangsa memusing motosikalnya, tetapi kanak-kanak itu berkata dia tidak pasti.
Saksi itu turut ditanya sama ada dia mengetahui jarak antara masjid dengan tempat kejadian, dan menjawab antara 5-meter hingga 10 meter.
Ditanya sama ada dia merakamkan kejadian itu pada telefon bimbit, saksi itu berkata dia tidak melakukannya.
"Saya tidak merakamnya. Saya (melihat) mangsa yang tercampak ke belakang dan terjatuh di atas jalan.
"Saya tidak pasti jika ada yang merakamkannya,” katanya.
Pada Isnin, saksi itu memberi keterangan bahawa kereta yang dipandu tertuduh telah melanggar tubuh mangsa. Perbicaraan disambung semula pada Rabu. — The Star/ ANNABELLE LAWRENCE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram