Tunggu laporan forensik dan kimia, kes bunuh Sabari ditunda 16 Februari depan


Mayat Sabari yang dibuang di Sungai Padang Terap di Wang Tepus masih belum ditemukan sehingga kini.

MAHKAMAH Majistret Jitra, Kedah, pada Ahad menangguhkan perbicaraan kes bunuh pesara kewangan FELCRA, Sabari Baharom, ke 16 Februari depan.

Majistret Nurul Huda Idris membuat keputusan itu selepas mendapat permohonan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, sementara menunggu laporan penuh forensik dan kimia.

Memetik laporan BuletinTV3, pihak pendakwaan turut memohon agar kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar mengikut bidang kuasa ditetapkan.

BACA LAGI : Selain kes Nurul Asikin Lan, ada 4 lagi profil jenayah kejam jadi perhatian umum sepanjang 2024

BACA LAGI : Dua suspek kes bunuh Sabari Baharom dituduh di mahkamah Kubang Pasu pada Khamis

Keputusan mengenai pemindahan kes itu dijangka diumumkan pada tarikh sebutan semula akan datang.

Mengikut pertuduhan pada 17 Oktober tahun lalu, tertuduh yang juga kontraktor, Mazuan Hanafi, 38 dan anak saudaranya, pekerja kilang Muhd Asyraf Idris, 26, didakwa atas tuduhan membunuh Sabari, 62.

Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika hukuman mati tidak dikenakan.

2969121

Sabari yang tinggal bersendirian di Kampung Mengkuang Tengah, Kupang, dilaporkan hilang pada 4 September tahun lalu dan siasatan mendapati dia diculik dan dibunuh.

Tiada pengakuan direkodkan setakat ini dengan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Shafiqah Zainuddin.

Sebelum ini, media melaporkan kedua-dua tertuduh ditahan pada 27 September tahun lalu, selepas kereta Proton Waja milik Sabari yang hangus terbakar ditemui di Kampung Pulau Belantek, kira-kira 60 kilometer dari rumahnya.

Sabari yang tinggal bersendirian di Kampung Mengkuang Tengah, Kupang, dilaporkan hilang pada 4 September tahun lalu dan siasatan mendapati dia diculik dan dibunuh.

Suspek ditahan polis mengaku mengikat tangan Sabari, menutup mulutnya dengan pita pelekat dan membuangnya ke dalam Sungai Padang Terap. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram