TINDAKAN kanak-kanak yang kerap melakukan aktiviti waktu lapang di kawasan jalan raya di Taman Friendly, Kudat, Sabah baru-baru ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Ia selepas melihat keadaan jalan yang tidak dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti bonggol bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Susulan itu, menerusi hantaran dikongsikan pengguna Facebook Community Care Kudat, penduduk menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membina bonggol jalan.
Menurutnya, penambahan itu wajar dilaksanakan agar dapat memastikan keselamatan penduduk terutama kanak-kanak di sekitar kawasan itu.
"Ada penduduk yang risau dengan keselamatan terutama kanak-kanak kerana kenderaan yang laju dari arah bawah bukit.
"Permohonan bertulis sudah diberikan kepada Lembaga Bandaran Kudat menurut penduduk taman.
"Harap pembinaan bonggol jalan dapat dipercepatkan sebelum berlaku kemalangan di kawasan ini," tulisnya.
Namun, ada juga yang beranggapan bahawa kanak-kanak terbabit seharusnya diajar dan dipantau oleh ibu bapa untuk tidak bermain di kawasan berbahaya.
"Itu jalan raya bukan taman permainan.. Budak-budak yang sepatutnya diajar atau ditegur bermain di tempat lain," komen Zahari Zaki.
Perkara itu disuarakan apabila melihat video kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan beberapa orang kanak-kanak sedang bermain bola di tengah jalan.
Justeru, terdapat cadangan daripada warga maya lain untuk pihak bertanggungjawab membina taman permainan khas buat penduduk taman.
"Lebih baik buatkan padang permainan daripada buat bonggol. Kalau buat bonggol bola tetap melantun ke jalan, menyusahkan kenderaan satu hal.
"Kalau buat padang permainan banyak manfaatnya," saran Bro Ab's Joe.
Setakat ini, belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung perkara tersebut setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram