SEORANG wanita warga emas berusia 71 tahun maut selepas basikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 9.3, Lebuhraya Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin (AMJ), Tangkak, Johor pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib, nahas membabitkan basikal ditunggang mangsa bersama kereta jenis Kia Optima itu berlaku sekitar pukul 9.30 pagi.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta dari arah Tanjung Gading menghala ke Melaka bergesel dengan penunggang basikal yang melawan arus di bahagian tepi jalan.
"Akibat kemalangan tersebut, penunggang basikal cedera dan dikejarkan ke Hospital Tangkak untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa kemudian meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan.
Roslan berkata, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan memandu dengan melulu atau merbahaya sehingga menyebabkan kematian.
"Sebarang maklumat bagi membantu pihak polis boleh dibuat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurhisyam Syafiq Mat Lopa di talian 013-9825324," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram