Sultan Selangor bimbang budaya fitnah dan rasuah, titah rakyat bersatu padu demi kemajuan Malaysia


  • Primer
  • Selasa, 31 Dis 2024

Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa bimbang terhadap peningkatan cubaan merosakkan reputasi yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

SULTAN Selangor menzahirkan rasa bimbang terhadap peningkatan cubaan merosakkan reputasi atau character assassination yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa tindakan tersebut bukan sahaja merosakkan keharmonian masyarakat, malah berpotensi menyemai nilai-nilai negatif jika tidak segera dikawal.

“Beta ingin menyeru rakyat agar bijak menilai dan menyelidik terlebih dahulu sebelum mempercayai fitnah yang timbul akibat perbuatan membunuh karakter ini,” titah baginda.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Yang penting aurat terjaga', berhijab di pentas dunia, kejayaan Sofea buat Katun Aszeril bangga anak teruskan legasi sukan BMX

BACA LAGI: [VIDEO] Chef Sakura rangkul pingat emas di pertandingan memasak Jepun, martabat hidangan tradisional Malaysia di mata dunia

Dalam hal itu, baginda menyarankan sekiranya terdapat kritikan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, ia seharusnya disalurkan sebagai cadangan yang membina agar dapat memberi manfaat buat semua pihak.

Bersempena dengan tahun baharu 2025, Sultan Sharafuddin menyeru seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik menanam azam untuk lebih fokus kepada usaha membangunkan ekonomi dan bekerja lebih kuat demi memajukan negara dalam semua bidang.

Baginda juga tidak mahu ada pihak masih bertelagah khususnya dalam kalangan pemimpin, komuniti perniagaan dan penjawat awam yang tamakkan kuasa dan kemewahan.

Perkara itu, titah baginda, dilihat kerap menjadi punca kepada timbulnya fitnah jahat, adu domba serta penyebaran maklumat palsu terutamanya di media sosial.

"Pada tahun baharu ini juga, beta mahu rakyat sama-sama berazam membanteras gejala rasuah pada semua peringkat dengan meningkatkan penguatkuasaan dan yang paling penting, mengutamakan integriti dalam nilai-nilai kehidupan harian.

"Ingatlah, bahawa sebuah tamadun boleh runtuh hanya disebabkan oleh rasuah yang berleluasa dan tidak terkawal,” titah baginda.

Tambahnya lagi, adalah penting supaya rakyat saling menghormati, berfikiran positif serta bersatu padu dalam usaha Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Titah baginda lagi, jika masih kerap bertelagah, pastinya usaha-usaha memajukan negara akan tergendala dengan rakyat terpaksa menanggung sengsara akibat keangkuhan dan sifat pentingkan diri sendiri segelintir pihak.

"Beta yakin sekiranya sekalian rakyat menggembleng usaha dan tenaga, mengukuhkan jati diri dan berazam untuk menyumbang sesuatu kepada kemajuan negara, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih maju dan disegani pada 2025,” titah baginda.

Menerusi hantaran itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2025 kepada seluruh rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram