
WARGA maya terhibur melihat rakaman video yang memaparkan beberapa remaja bawah umur dikenakan tindakan ketuk ketampi oleh pihak polis.
Denda tersebut dikenakan semasa sekatan jalan raya sempena sambutan ambang tahun baharu 2025 yang diadakan di sekitar Jalan Sultan Azlan Shah, Chow Kit, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, tindakan pihak berkuasa telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warga maya, dengan pelbagai reaksi berbeza tentang cara pihak polis mendidik golongan remaja.
BACA LAGI: [VIDEO] Pensyarah USM jadi kebanggaan 'kaki motor', hasilkan inovasi tayar kalis pancit, tidak bocor
Sebahagian pengguna media sosial menyokong tindakan tersebut dan menganggapnya sebagai langkah yang baik untuk mendidik remaja.
Pengguna media sosial, Fuadah Johari menganggap ketuk ketampi bukan sekadar denda tetapi cara untuk menajamkan pemikiran remaja.
Fuadah berpendapat bahawa tindakan itu dapat mengajar mereka disiplin dan membuat mereka lebih matang dalam membuat keputusan pada masa hadapan.
"Eloklah budak-budak ni kena ketuk ketampi, bagi tajamkan sikit pemikiran supaya mereka lebih elok dan cerdik masa hadapan," tulisnya.
Fuadah juga memuji pihak polis yang dianggapnya telah bertindak dengan penuh hikmah.
Pendapat serupa turut dikemukakan oleh Norelly Shaharin yang juga menyokong pendekatan tersebut.
Beliau percaya bahawa ketuk ketampi adalah cara yang lebih berkesan berbanding tindakan saman yang sering digunakan oleh pihak berkuasa.
"Zaman 2025, polis tak didik dengan saman menyaman bila budak keluar malam, dia suruh ketuk ketampi 100 kali. Alhamdulillah, dah macam kadet," katanya.
Norelly menambah bahawa tindakan ini tidak hanya mendisiplinkan remaja tetapi juga memberi kesan yang lebih mendalam dan membuatkan mereka berfikir sebelum bertindak.
Namun, ada juga cadangan alternatif yang lebih berfokuskan aktiviti positif dan amal.
Seorang lagi pengguna, Nur Arinn berpendapat bahawa remaja yang dikenakan denda seperti itu seharusnya diberi peluang untuk menjalani aktiviti amal.
"Elok kutip mereka bawak pergi bersihkan rumah orang tua, hari cuti sekolah buat kerja amal," katanya.
Katanya lagi, aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat memberikan pengalaman yang bermakna tetapi juga dapat mendidik remaja untuk lebih bertanggungjawab terhadap masyarakat.
"Dengan cara ini, remaja tidak hanya belajar tentang disiplin, tetapi juga tentang nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram