BANDAR hotspring yang terkenal dengan pemandangan salji fotogenik, Ginzan Onsen, Yamagata utara, Jepun mula mengehadkan kemasukan pelancong harian mulai Isnin lepas.
Langkah itu diambil sebagai usaha untuk menangani masalah pelancongan berlebihan semasa musim sejuk.
Ginzan Onsen, yang menarik kira-kira 330,000 pengunjung setiap tahun sering menjadi tumpuan ramai kerana keindahan bangunan lama yang diselaputi salji dan diterangi cahaya lampu yang mencipta suasana nostalgia.
BACA LAGI: Nikmati keindahan Melaka di Casa del Rio, gah dengan sentuhan Baba Nyonya
Ginzan Onsen mula mengehadkan kemasukan pelancong harian mulai Isnin lepas.
Namun, seperti di destinasi terkenal lain seperti Kyoto dan Gunung Fuji, pihak berkuasa di bandar itu menghadapi peningkatan masalah lalu lintas, perselisihan dan gangguan akibat terlalu ramai pelancong.
Mulai Isnin, hanya pelancong yang menginap di hotel tempatan dibenarkan memasuki bandar tersebut selepas pukul 8 malam.
Manakala, mereka yang ingin melawat antara pukul 5 petang hingga pukul 8 malam perlu membuat tempahan terlebih dahulu.
Tahun ini, Jepun mencatatkan lonjakan pelancong asing yang disebabkan oleh kelemahan yen untuk merangsang pelancongan pasca-pandemik.
Ketua jabatan perdagangan dan pelancongan Obanazawa, Takayuki Saito menjelaskan bahawa kesesakan sering berlaku akibat kenderaan yang tersekat dalam salji kerana pelancong tidak menggunakan tayar salji.
Beliau juga menyatakan bahawa ambulans sering mengalami kesukaran untuk sampai ke Ginzan Onsen disebabkan halangan trafik.
Bagi mengatasi isu itu, sehingga penghujung Februari, pelancong harian diminta meletakkan kenderaan di pusat pelancongan dua kilometer dari pekan dan menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik.
Langkah itu diambil selepas beberapa tahun perbincangan dibuat, dengan harapan untuk mengekalkan hubungan baik antara pihak berkuasa dan pelancong.
Laman web rasmi Ginzan Onsen turut menyebut bahawa dalam beberapa kejadian baru-baru ini, ambulans terhalang oleh kesesakan sehingga menyebabkan pasukan kecemasan terpaksa berlari untuk tiba ke lokasi.
Ada juga pelancong yang menunjukkan sikap kurang sopan terhadap pegawai yang cuba membantu kenderaan yang terkandas dalam salji.
Setakat ini, lebih 33 juta pelancong asing telah memasuki Jepun pada tahun ini yang sekali gus melepasi rekod tahun 2019.
Di Kyoto, penduduk tempatan mengadu tentang gangguan pelancong terhadap geisha dan menguatkuasakan larangan kemasukan pelancong ke lorong-lorong persendirian.
Pihak berkuasa juga memperkenalkan bayaran masuk dan had jumlah pelancong di laluan popular Gunung Fuji.
Pemasangan pagar di luar kedai serbaneka turut dilakukan untuk menghalang pengunjung daripada terlalu teruja bergambar di jalan raya, yang boleh mengundang risiko kecederaan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram