ESOK pada Jumaat, 27 Disember 2024 Masjid Al Muktafi Billah Shah di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu bakal menjadi tumpuan orang ramai susulan pelaksanaan hukuman sebat enam kali terhadap pesalah khalwat berulang.
Masjid berusia 43 tahun dengan paparan ciri seni bina dari Timur Tengah berkeluasan 1.3 hektar itu menjadi lokasi pertama proses sebat secara terbuka dilaksanakan di negeri Darul Iman.
Tinjauan Majoriti selama tiga jam di Masjid Al Muktafi Billah Shah mendapati segala persiapan giat dilakukan oleh kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, selain ahli jawatankuasa pengurusan masjid berkenaan.
BACA LAGI: Hukuman sebat duda 3 kali khalwat dilaksanakan 27 Disember depan
Pemasangan tali penghadang merah antara persiapan bagi pelaksanaan hukuman sebat di Masjid Al Muktafi Billah Shah di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Terengganu esok.
Kelihatan tali penghadang berwarna merah dipasang dari laluan pintu belakang masjid ke Dewan 'Aasim iaitu lokasi pesalah akan dikenakan hukuman sebat.
Dewan 'Aasim yang ketika ini ditutup rapat terletak kira-kira 10 meter dari pintu ke ruang solat masjid berkubah biru berkenaan.
Tali penghadang itu dipercayai untuk mengehadkan pergerakan jemputan awam sebelum dibenarkan memasuki dewan bagi menyaksikan proses sebatan pesalah khalwat berulang yang dijadualkan berlangsung selepas solat Jumaat.
Notis larangan merakam gambar dan video turut ditampal di sekitar dewan berkenaan.
Notis larangan merakam gambar dan video sepanjang pelaksanaan hukuman juga ditampal di sekitar dewan berkenaan.
Barisan meja di kiri kanan laluan ke Dewan 'Aasim turut kelihatan bagi proses pemeriksaan keselamatan ketat yang dikendalikan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kira-kira 40 pegawai dan anggota akan bertugas di masjid berkenaan bagi mengawal keselamatan dan kelancaran proses hukuman.
Katanya, hanya 70 individu sahaja dibenarkan memasuki ruangan tempat hukuman sebat dijalankan tanpa dibenarkan membawa sebarang peranti komunikasi ke dalam dewan.
Setakat ini, difahamkan 13 wakil media akan menjadi antara saksi hukuman sebat berkenaan, manakala baki 57 lagi melibatkan kariah setempat, wakil rakyat Terengganu, wakil NGO dan agensi kerajaan.
Beliau juga akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mencetuskan provokasi kepada petugas atau pesalah pada Jumaat.
Seorang duda anak lima, Mohd Affendi Awang, 42, bakal menjalani hukuman enam sebatan atas kesalahan berkhalwat buat kali ketiga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram