
BERMULA dengan hanya 11 orang penenun songket pada 2012, Tanoti Sdn Bhd (Tanoti) kini berkembang menjadi syarikat sosial yang melibatkan lebih 600 artisan dari 25 kampung terpencil di Sarawak.
Ditubuhkan oleh Dr. June Ngo dan Jacqueline Fong, Tanoti berperanan dalam melestarikan seni tenunan tradisional Sarawak sambil menyediakan peluang ekonomi kepada penduduk luar bandar yang bergantung kepada kraf tangan.
Tanoti berjaya menggabungkan seni tradisional dengan reka bentuk moden.
Salah satu kejayaan utama mereka adalah Ketupat Pouf, hasil kerjasama dengan rumah reka bentuk Aureole Design, yang memenangi Anugerah Reka Bentuk Malaysia 2023.
BACA LAGI: Sokongan ibu jadi dorongan, muzik buat anak austime menyerlah hingga dipilih 'terbang' ke India
Inisiatif Tanoti membolehkan tukang kraf di luar bandar Sarawak terus mempraktikkan seni mereka.
Selain itu, Tanoti juga bekerjasama dengan pereka fesyen, Melinda Looi untuk menghasilkan koleksi pakaian dan aksesori yang menggabungkan tenunan tradisional
Hasil kerjasama itu, gaun gah yang dihasilkan daripada artisan etnik Penan berjaya tonjol sewaktu dipakai oleh penyanyi, Aina Abdul sempena Sambutan Minggu Perpaduan Negara 2024.
Fong berkata, mereka sentiasa mencari cara untuk membawa seni dan kraf tangan Sarawak ke dunia moden tanpa mengorbankan tradisi lama.
"Sebagai contoh, kolaborasi dengan Aureole Design menghasilkan produk seperti Ketupat Pouf, yang memenangi Anugerah Reka Bentuk Malaysia 2023 dan kolaborasi dengan Melinda Looi membolehkan kami memperkenalkan tenunan Sarawak di pentas fesyen antarabangsa," katanya.
Penenun artisan gigih menyiapkan tenunan bersama-sama.
Selain menghasilkan produk, Tanoti turut membuka peluang bagi artisan untuk terlibat dalam perkhidmatan pelancongan, bengkel dan kandungan kreatif yang dapat memperkenalkan budaya Sarawak kepada dunia.
Fong berkata, Tanoti juga bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Yayasan Hasanah dan ASEAN Handicraft Promotion & Development Association (AHPADA untuk mempromosikan warisan tekstil Malaysia.
"Untuk memastikan seni kraf tangan ini terus relevan, kami perlu pastikan ia memenuhi kehendak pasaran semasa.
"Ia bukan hanya soal menghasilkan produk tetapi bagaimana untuk membuatkan orang ramai ingin memilikinya,” katanya.
Namun, perjalanan Tanoti untuk meningkat tidak semudah yang difikirkan.
Isu infrastruktur telekomunikasi di kawasan pedalaman Sarawak pernah menyukarkan komunikasi antara Tanoti dan golongan artisan.
Walaupun begitu, Fong berkata, dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan akses Wi-Fi dan jaringan telekomunikasi, kini hampir semua artisan dapat dihubungi.
"Apabila ada akses ke internet, segala proses produksi lebih cepat dan memperluaskan capaian pasaran.
"Industri ini perlu terus relevan. Pengguna mesti mahu menggunakannya, dan pengeluar perlu mempunyai motivasi untuk terus menghasilkan karya seni," katanya. — The Star/VENESA DEVI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram