HOSPITAL Bersalin Razif (HBR) menangkis segala dakwaan tular di media sosial mengatakan pihaknya terlibat dalam kes menyimpan mayat bayi di dalam peti sejuk baru-baru ini.
Pihaknya menjelaskan bahawa ibu mangsa tidak pernah menjalani pemeriksaan sepanjang kehamilan.
"Pesakit ini yang mendakwa dalam kehamilan pertamanya datang ke HBR ketika dia sedang mengandung.
"Dia tidak pernah menjalani pemeriksaan antenatal sepanjang kehamilan. Dia mendakwa dia memantau kehamilannya hanya menggunakan perisian aplikasi telefon pintar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mayat Muhammad Adham Mikail yang terpaksa dicairkan dengan air panas sebelum dikebumikan. — Facebook/MrWanChaiOfficial
HBR berkata, pesakit kemudiannya dibawa ke hospital oleh pasangannya yang sebelum itu didakwa sebagai suami sebelum memberitahu kononnya mereka belum berkahwin.
Memandangkan pesakit dalam keadaan yang terlalu sakit untuk melahirkan anak, dia terpaksa dibawa terus dari kereta ke bilik pemeriksaan dengan menggunakan kerusi roda bagi mendapatkan pemeriksaan segera.
"Disebabkan itu, HBR terpaksa menerima pesakit ini atas dasar kemanusiaan walaupun tanpa tempahan dan pemeriksaan saringan.
"Pesakit dihantar ke bilik bersalin dan melahirkan bayi tersebut hampir serta-merta. Bayinya mengalami sindrom siklop (cyclops syndrome) dengan satu mata, tanpa hidung dan tanpa dubur. 'Suaminya' juga tidak menemani pesakit semasa proses bersalin.
"Doktor kemudiannya menjelaskan kepada 'suami' tentang keadaan bayi dan memintanya untuk melaungkan azan. Suntikan rutin diberikan kepada bayi dan dirancang untuk dirujuk (ke hospital lain), namun wajah bayi itu bertukar menjadi pucat kebiruan sebelum meninggal dunia beberapa minit kemudian," jelasnya.
Katanya lagi, permit pengebumian ditandatangani dan doktor memberitahu 'suami' untuk mengaturkan proses berkenaan pada keesokan harinya.
'Suami' tersebut kemudiannya meninggalkan hospital dengan alasan perlu pergi ke tempat lain.
"Pesakit dalam keadaan baik dan dibenarkan keluar hospital pada hari berikutnya dan dia memaklumkan tidak mampu untuk membayar keseluruhan bil sebanyak RM2,480.
"Dia kemudian diberitahu bahawa boleh mengatur pengebumian terlebih dahulu sebelum membayar bil. Kemudian dia mengatakan 'suaminya' akan mengaturkannya.
"Oleh itu, HBR menunggu untuk dia mengambil bayi bagi tujuan dikebumikan. Selepas beberapa hari, HBR terus mengingatkan pesakit untuk meneruskan pengebumian tetapi dia mengatakan bahawa 'suami' sedang uruskan," katanya.
HBR juga turut memaklumkan bahawa pesakit dilayan dengan baik di hospital, mendapat kaunseling dan diberikan makanan percuma.
Jelasnya lagi, 'suami' pesakit datang melawat hanya untuk beberapa minit setiap dua ke tiga hari.
Percubaan untuk berbincang dengan lelaki tersebut tentang pengebumian juga dikatakan gagal.
Pengurusan HBR kemudian berbincang dengan pesakit untuk bekerjasama dengan pihak polis bagi membantu menyelesaikan urusan pengebumian tetapi dia merayu agar tidak melibatkan pihak berkuasa sama sekali.
"Pesakit terus mengatakan bahawa semua keputusan akan dibuat oleh 'suaminya'.
"HBR cuba mendapatkan maklumat tentang keluarga tetapi wanita terbabit enggan memberikannya kepada sesiapa. Pesakit juga mendakwa dia tinggal di rumah sewa bersama 'suami' dan tidak mempunyai saudara-mara atau rakan-rakan terdekat.
HBR pada masa sama berkata, pihaknya akan kekal komited terhadap ketelusan dan kepatuhan dalam semua urusan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram