
SATU insiden mendebarkan menimpa penduduk sekitar Parit Besar, Teluk Intan, Perak apabila seorang anggota polis dikhuatiri lemas setelah bermandi-manda di sebuah tali air sekitar kawasan berkenaan.
Berdasarkan maklumat orang ramai yang diterima, mangsa sebelum itu bersama rakan-rakannya terlibat dalam satu acara perjumpaan semula (reunion) dengan mereka mengadakan pertandingan bola sepak sosial.
Selepas pasukannya tersingkir, mangsa menuju ke arah pintu gerbang Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah, Perak untuk bermandi-manda, namun tidak dapat dipastikan sama ada dia pergi seorang diri atau beramai-ramai.
BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan bakar sampah waktu Maghrib, rupanya rumah pusaka hangus di Felcra Changkat Lada
BACA LAGI: [VIDEO] Ibu, anak terpelanting dirempuh pemandu cuai akibat mengantuk di Changkat Lada
Namun, insiden menimpa apabila dia dilaporkan tidak timbul ke permukaan air selepas terjun ke dalam parit berkenaan dengan rakaman orang ramai memaparkan kedudukan air tinggi namun aliran tidak begitu deras.
Video pendek itu turut memaparkan pihak polis dan bomba sudah berada di lokasi kejadian dengan penduduk sekitar juga sudah mengerumuni kawasan tersebut dengan harapan dapat menemukan mangsa.
Sementara itu, difahamkan mangsa yang berkhidmat sebagai anggota polis di Melaka pulang ke kampung halamannya di Changkat Lada untuk bercuti.
Setakat ini, masih tiada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung kes berkenaan, namun ia sudah menerima perhatian pengguna media sosial yang mengharapkan mangsa dapat ditemui segera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram