POLIS sedang mengesan seorang penunggang p-hailing yang bertindak membuat isyarat tangan lucah terhadap pengguna jalan raya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaa'far berkata, siasatan kini dijalankan selepas polis menerima maklumat tentang video tersebut.
Beliau memaklumkan bahawa kejadian itu berlaku sepanjang Jalan PJS8/5 di Sunway Mentari, Petaling Jaya.
"Tarikh sebenar kejadian masih dalam siasatan. Mangsa terbabit juga sedang dikesan dan mereka digesa tampil membantu siasatan," katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial sejak Jumaat sebuah video memaparkan penunggang terbabit bertindak di luar kawalan ketika sedang menunggu untuk memasuki persimpangan jalan selepas disergah oleh pemandu kereta di belakangnya.
Dalam video sama, penunggang itu juga dilihat menghampiri pemandu kereta di belakangnya dengan keadaan marah selepas menunjukkan isyarat tangan lucah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram