SELEBRITI lelaki berusia 41 tahun yang ditahan atas kesalahan dadah pada Sabtu kini direman selama lima hari bermula Ahad.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting, Selangor untuk permohonan reman.
"Suspek akan direman sehingga Khamis depan. Kami akan menjalankan siasatan lanjut berhubung masalah dadah," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Norhizam turut menegaskan bahawa pihak polis memandang serius terhadap kesalahan dadah.
"Kami meminta kerjasama orang ramai dalam memberi penerangan berhubung kesalahan berkaitan dadah.
"Kami akan berusaha sedaya upaya memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah," katanya.
Pada Sabtu, polis dilaporkan bertindak menyerbu rumah selebriti lelaki itu atas kesalahan memiliki dadah.
ACP Norhizam berkata, tangkapan berjaya dibuat di Cyberjaya sekitar pukul 3.10 petang Sabtu.
"Pemeriksaan di rumah itu membawa kepada penemuan dua paket yang disyaki mengandungi 60.3g ganja.
"Ujian air kencing ke atas suspek menunjukkan dia positif THC," katanya sambil menambah lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram