[VIDEO] Pengadil ditumbuk bertubi-tubi angkara penalti, polis Serdang buka kertas siasatan


  • 112
  • Selasa, 17 Dis 2024

Tangkap layar video insiden pengadil dipukul oleh pemain yang berlaku di Puchong Jaya baru-baru ini.

PIHAK polis membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada seorang pengadil perlawanan bola sepak di Puchong baru-baru ini.

Video yang tular di media sosial itu memperlihatkan seorang pengadil diserang dan ditumbuk berkali-kali oleh pemain selepas dia dipercayai memberikan sepakan penalti kepada pihak lawan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 42 saat tular di laman media sosial berhubung kejadian tersebut yang berlaku di Puchong Jaya, pada Ahad.

BACA LAGI: Sah gandingan Peter Cklamovski-Nafuzi Zain perbaiki prestasi Harimau Malaya, ramai doa FAM baik-baik saja di bawah revolusi TMJ

BACA LAGI: Digugurkan Amorim semasa tewaskan City, respons Rashford depan TV sangat profesional di sebalik rumors bakal dilelong Man United

Kata beliau, pihaknya telah menerima satu laporan yang dibuat oleh lelaki tempatan berusia 38 tahun berhubung kejadian berlaku pukul 7.10 malam, semasa pengadu bertugas sebagai pengadil perlawanan.

"Mangsa telah ditumbuk oleh orang yang dikenali kerana tidak berpuas hati dengan keputusan sepakan penalti diberikan kepada pihak lawan.

"Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan atas kesalahan gaduh gempar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, kes masih dalam siasatan dan pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Untuk rekod sebelum ini, insiden sama pernah berlaku selepas menjadi mangsa 'bedal' kerana terdapat pemain tidak berpuas hati terhadap keputusan individu yang memberikan sepakan penalti.

Difahamkan pengadil terbabit bertugas untuk mengendalikan perlawanan sebuah liga amatur iaitu Footy Premier League di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bharu antara FC Pirates menentang Ukay Positive.

Pada separuh masa kedua, pengadil bertugas memberikan sepakan penalti kepada Pirates selepas salah seorang pemain Ukay melakukan kekasaran dalam kawasan penalti.

Akan tetapi, keputusan itu tidak disenangi oleh seorang pemain sebelum kemudiannya menumbuk pengadil selepas dia dilayangkan kad kuning kerana membuat bantahan keras. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram