YAYASAN Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) telah mengumumkan kerjasama dengan seorang bakat muda dalam sukan lawan pedang, Saif Nordin, 14 bagi menandakan satu lagi pencapaian baharu dalam perjalanan sukan lawan pedang.
Pengerusi SportExcel, Tunku Tan Sri Imran, menekankan kepentingan kerjasama itu, sambil menegaskan bahawa Saif, seperti banyak atlet muda yang berada dalam peringkat perkembangan kritikal.
Tunku Imran berkata, Saif berada di peringkat yang sangat penting dalam perjalanan pembentukan kariernya.
"Pada usia 14 tahun, keputusan penting tentang masa depannya akan datang.
"Atlet yang cemerlang tidak dibentuk dalam semalam, dalam banyak kes, ia memerlukan satu dekad atau lebih untuk membina disiplin dan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya."
SportExcel mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam merapatkan jurang antara dunia korporat dan sukan untuk menyediakan sumber yang diperlukan bagi kejayaan di peringkat antarabangsa.
Ditubuhkan pada 1991, SportExcel telah memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan di Malaysia, dengan memberikan sokongan kewangan dan program serta struktur untuk atlet muda.
Bagi Saif, kerjasama ini merupakan satu penghormatan dan tanggungjawab.
"Saya teruja untuk menjadi sebahagian daripada keluarga SportExcel. Banyak atlet berprestasi tinggi telah berkembang melalui sokongan mereka, dan saya berharap dapat mengikuti jejak mereka.
"Perjalanan saya baru sahaja bermula. Lawan pedang adalah sukan global, yang dimainkan di Sukan SEA, Sukan Asia, dan Olimpik, dan untuk bersaing di peringkat ini bermakna kami perlu berdepan dengan yang terbaik.
"Tetapi tiada siapa yang boleh mengatakan bahawa seorang rakyat Malaysia tidak mampu melakukannya," katanya.
Saif, yang telah mewakili Malaysia dan Selangor dalam pelbagai kejohanan antarabangsa, kini sedang berlatih di Kelab Fencing Touche, Petaling Jaya di bawah bimbingan jurulatih, Andrew Mok.
Untuk rekod, Andrew merupakan jurulatih yang diiktiraf oleh Persekutuan Fencing Antarabangsa (FIE) dan dibimbing oleh bekas atlet lawan pedang negara, Mok Chek Wlong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram