Malaysia sedia hadapi perubahan teknologi, pendaftaran kursus GenAl Coursera naik 5 kali ganda


  • Bizz
  • Isnin, 16 Dis 2024

Malaysia mencatatkan peningkatan 20 peratus dalam jumlah pengguna Coursera pada 2024. — Gambar Hiasan

PELAJAR Malaysia semakin bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan memberi tumpuan kepada kemahiran Generative AI (GenAI) dan kepimpinan yang relevan.

Pengarah Urusan Asia Pasifik Coursera, Raghav Gupta berkata, peningkatan permintaan terhadap kemahiran GenAI menunjukkan kesiapsiagaan rakyat Malaysia untuk menghadapi cabaran teknologi pada masa depan.

"Pelajar Malaysia kini lebih fokus untuk mempersiapkan diri menghadapi masa depan yang dipacu oleh teknologi, terutamanya dalam bidang GenAI.

"Ini menunjukkan kecekalan dan kebolehan mereka untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam dunia pekerjaan," katanya.

BACA LAGI: Cuma guna tulang ayam, artis muda Malaysia bijak hasilkan pameran seakan-akan tapak arkeologi di ibu negara

BACA LAGI: [VIDEO] 'Berlarilah dengan senyuman', sakit kanser tahap 4 tidak halang Cikgu E sertai maraton, syukur miliki anak isteri penguat semangat

photo_6264612605180100155_x

Ramai individu mula menyertai kursus GenAI di Coursera. — Gambar Hiasan

Malaysia mencatatkan peningkatan 20 peratus dalam jumlah pengguna Coursera pada 2024, yang menggambarkan komitmen rakyat Malaysia untuk meningkatkan kemahiran dan kekal relevan dalam pasaran kerja global.

Berdasarkan data daripada lebih 862,000 pengguna berdaftar, dua trend utama yang muncul tahun ini adalah permintaan tinggi terhadap pembelajaran GenAI dan keutamaan kursus yang disesuaikan dengan keperluan kerjaya.

Hal itu mendorong kemahiran AI semakin penting bagi majikan di Malaysia.

Buktinya, mengikut Indeks Trend Kerja Microsoft 2024, 62 peratus majikan tidak akan mengambil pekerja tanpa kemahiran AI, manakala 65 peratus lebih mengutamakan calon yang kurang berpengalaman tetapi memiliki kemahiran AI.

Di Asia Pasifik, seorang individu mendaftar untuk kursus GenAI di Coursera bagi setiap dua minit sekali gus mencerminkan permintaan yang semakin meningkat dalam pelbagai industri.

photo_6264612605180100164_x

Pekerja yang memiliki kemahiran Al yang tinggi lebih mendapat perhatian majikan. — Gambar Hiasan

Pada 2024, Coursera melaporkan peningkatan lima kali ganda dalam pendaftaran kursus GenAI, dengan kursus seperti Google AI Essentials dan Generative AI for Everyone menjadi semakin popular.

Walaupun kursus asas masih diminati, tumpuan kini beralih kepada aplikasi praktikal GenAI di tempat kerja.

Selain AI, pelajar Malaysia juga terus mendaftar untuk kursus dalam bidang perniagaan, pemasaran, bahasa dan analitik data.

Ini menunjukkan minat yang semakin kuat untuk membina kemahiran yang versatil.

Kursus sijil profesional yang tidak memerlukan pengalaman atau ijazah juga semakin popular yang menunjukkan bahawa ramai yang ingin memperkukuh kemahiran mereka dalam pelbagai bidang.

Dapatan awal daripada Laporan Kemahiran Kerja Coursera 2025 menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran GenAI, kepimpinan, pengurusan krisis dan pemikiran analitikal.

Ini mencerminkan usaha Malaysia untuk mempersiapkan tenaga kerja yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan yang semakin bergantung kepada teknologi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram