ISU melibatkan pemain badminton negara, Lee Zii Jia yang memakai jersi dengan bendera Jalur Gemilang terbalik pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF disifatkan sebagai satu kesilapan kritikal.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, walaupun pemain nombor lapan dunia itu telah memohon maaf, insiden itu menunjukkan kecuaian serius.
BACA LAGI: Isu bendera terbalik perkara serius, Zii Jia perlu 'curi masa' jelaskan kepada rakyat Malaysia
BACA LAGI: Penaja mohon maaf isu bendera Malaysia terbalik di baju Lee Zii Jia
“Kita mesti kekal sederhana dan biarkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya. Saya difahamkan Lee Zii Jia sudah pun meminta maaf.
"Pada pandangan saya, ia adalah satu kesilapan yang serius. Jersi yang dipakai oleh pemain terkenal yang mewakili negara itu membawa bendera Malaysia. Saya melihat ini sebagai kecuaian yang kritikal. Kami mengambil perhatian mengenainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian, Pontian, Johor untuk menyelia menara telekomunikasi Tarana Wireless pada Sabtu.
Fahmi menambah, kementeriannya belum menerima sebarang laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung komen sensitif dikeluarkan berhubung perkara tersebut.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
“Jika ada siasatan, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk uruskan. Nasihat saya, bukan sahaja dalam kes ini tetapi dalam apa jua keadaan, pengguna Internet dan media sosial perlu berhati-hati ketika mengulas.
"Kadangkala, komen boleh disalah tafsir, dan kita tidak mahu situasi di mana ia mencetuskan ketegangan yang tidak perlu. Marilah kita mengambil tindakan sewajarnya dan berharap situasi seperti itu tidak berulang," tambahnya.
Terdahulu, Zii Jia berdepan kritikan kerana memakai jersi dengan Jalur Gemilang terbalik.
Zii Jia memakai jersi itu semasa perlawanan pembukaan Kumpulan A ketika dia menewaskan pemain Taiwan, Chou Tien Chen 21-13, 21-15.
Pada 8 Mei lalu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dilaporkan berkata, kementeriannya akan merangka kod etika pakaian untuk atlet berhubung penggunaan Jalur Gemilang pada pakaian pertandingan mereka.
Tambahnya, pengenalan kod etika itu adalah susulan beberapa isu yang melibatkan penggunaan Jalur Gemilang dengan terbaharu melibatkan pakaian Zii Jia.
"Setakat ini kami tidak mempunyai kod atau peraturan yang boleh kami gunakan berhubung isu itu. Saya akan minta Majlis Sukan Negara (MSN) melihat apa yang boleh kami lakukan untuk memastikan perkara ini tidak berulang," katanya. — The Star/REMAR NORDIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram