JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengesahkan tempat dalam separuh akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF apabila menumbangkan pemain pilihan utama dari Denmark, Anders Antonsen di Hangzhou, China pada Khamis.
Pemain nombor lapan dunia berkenaan mengambil masa 46 minit untuk menewaskan Antonsen 21-14, 21-19 dan menempah tempat di separuh akhir pada kejohanan terakhir tahun ini tersebut.
Cabaran hebat dihadapi wakil negara itu dalam set kedua apabila Zii Jia ketinggalan banyak sebelum mengejar dan berhasil menamatkan pertarungan berkenaan dengan kemenangan 21-19.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Belajar hormat', pemain amatur badminton ditegur gara-gara perang psiko tak kena tempat
BACA LAGI: [VIDEO] Badminton nombor 2, adik Tze Yong tak terfikir mahu ikut langkah abang
Ia merupakan kemenangan kedua pemain negara itu selepas menewaskan wakil Taiwan, Chou Tien Chen pada Rabu sekali gus membolehkannya menempah tempat ke pusingan empat terbaik lebih awal.
Kemenangan Zii Jia itu berhasil menutup mulut orang ramai khususnya segelintir penyokong badminton negara yang sebelum ini tidak meletakkan harapan tinggi untuk melihat pemain perseorangan itu lolos ke peringkat seterusnya.
Selepas ini, Zii Jia akan melengkapkan aksi Kumpulan A dengan berdepan jaguh tuan rumah, Li Shi Feng pada esok.
"Hebatlah berhasil mara ke separuh akhir. Dah boleh mendiamkan semua orang yang tidak percaya Zii Jia akan mara ke separuh akhir. Ramai orang cakap dia tidak akan layak ke pusingan seterusnya kalau tidak ubah sikap," kata penyokong, Steve Goh.
"Pada hari terbaiknya, Zii Jia boleh lawan siapa pun," tambah penyokong badminton, Mozen Mocen.
"Tahniah Zii Jia. Mana lalang yang provoke kata Zii Jia akan balik hari ini. Semalam ramai menyumpah. Yakin Zii Jia menang tahu pun dia. Bila Zii Jia menang maka lalang pun akan berlari masuk bawah tempurung," komen penyokong tanah air, Nur Hidayah.
Dengan kemaraan Zii Jia ini, penyokong pasti mengharapkan sekurang-kurangnya satu gelaran daripada Hangzhou kerana tiada pemain atau pasangan Malaysia yang memenangi gelaran dalam Jelajah Akhir Dunia sejak kejohanan itu dimulakan pada 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram