
POLIS kini sedang giat memburu seorang lelaki yang aktif menyamun di sekitar Miri, Sarawak.
Walaupun beberapa videonya sudah mula tular di laman media sosial, namun suspek masih melakukan jenayah tersebut.
Menurut seorang pengguna Facebook, Mark Janting suspek dilihat menggunakan modus operandi dan pakaian yang sama.
"Hati-hati orang Miri, penyamun aktif merompak. Untuk keselamatan, tutuplah kedai awal. Sudah beberapa kali terjadi dan video pun sudah viral.
"Kalau nampak orang seperti dalam video yang memakai baju dan topi hitam membawa parang terus tutup kedai. Badan 'gendut' pun masih nak mencuri," tulisnya.
Sihat betul badan dia makan duit haram.
Kejadian rompak di Miri, Sarawak pic.twitter.com/LShjrMY5qt
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) December 12, 2024
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu mengesahkan kejadian terbabit.
"Suspek menyamun dan melarikan RM1,000 dari sebuah premis di Simpang Ngu Batu Niah, Miri pada Sabtu lalu.
"Siasatan awal mendapati pengadu yang sedang menjaga kaunter pembayaran di premis runcit telah didatangi oleh seorang suspek yang menunjukkan sebilah parang.
"Suspek kemudiannya meminta wang tunai daripada pengadu. Rakaman litar tertutup (CCTV) telah memperlihatkan suspek, seorang lelaki yang telah dikenal pasti.
"Suspek berusia 31 tahun dan pihak polis sedang berusaha untuk mengesannya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Alexson lagi, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Beliau juga menasihati orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut agar tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram