[VIDEO] Gagal tekan brek dikatakan punca pelajar maut, 2 rakan parah rempuh Plaza Tol Sungai Dua P. Pinang


  • 112
  • Jumaat, 06 Dis 2024

Seorang pelajar kolej swasta maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka melanggar pembahagi jalan di Plaza Tol Sungai Dua, PLUS arah selatan pada Jumaat. — Bomba

SEORANG pelajar kolej swasta maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Plaza Tol Sungai Dua, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Jumaat.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan, pemandu kenderaan jenis Perodua Myvi tersebut dipercayai gagal menekan brek kereta itu sehingga merempuh pembahagi jalan kawasan tol tersebut.

Turut tular beberapa video dan gambar memaparkan tragedi malang tersebut.

BACA LAGI: Dua maut, rakan parah lepas 'basket' kren skylift terhempas di Putrajaya

BACA LAGI: [VIDEO] Cedera tulang belikat, budak 6 tahun dikejarkan ke hospital terlibat kes langgar lari di JB

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas, Idrus Zakaria mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, dalam kejadian pukul 9.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Adam Mifdal Mohd Affendy, 18, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Sementara itu, dua lagi rakannya, Muhammad Amirul Johan Rizwal, 18, dan Muhammad Shahmi Mohd Yusof, 22, masing-masing cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat

Jelas beliau lagi, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pukul 9.44 pagi mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

"Terdapat tiga mangsa yang mana dua daripadanya iaitu masing-masing lelaki berusia 18 dan 22 tahun cedera namun telah dikeluarkan oleh orang awam.

"Seorang lagi mangsa tersepit di tempat duduk penumpang belakang dan dikeluarkan oleh pihak bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Idrus memaklumkan jenazah mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram