Efluen kumbahan mengalir ke sungai, pusat sembelih ayam kotor di Kuala Kubu Bharu kena tutup 14 hari


  • Massa
  • Jumaat, 13 Dis 2024

Operasi siasatan mengenai pusat penyembelihan ayam di Kampung Sungai Damar, Kuala Kubu Bharu dijalankan pada Khamis.

PUSAT penyembelihan ayam di Kampung Sungai Damar, Kuala Kubu Bharu, Selangor diarah untuk tutup selama 14 hari bermula pada Khamis susulan masalah kebersihan yang tidak dikawal sebaiknya.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerusi kenyataan berkata, pihaknya yang menerima aduan bertindak menjalankan siasatan di lokasi berkenaan yang mendorong kepada notis penutupan itu dikeluarkan.

"Pemeriksaan keseluruhan kawasan penyembelihan ayam mendapati premis tersebut gagal mematuhi piawaian kebersihan dan peraturan operasi iaitu premis tidak berada dalam keadaan yang bersih, efluen kumbahan masuk ke salur pembentung kumbahan dan mengalir ke anak sungai.

“Pemeriksaan juga mendapati bekalan ayam yang disembelih akan dihantar ke pasar awam Kuala Kubu Bharu dan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah daripada MPHS,” katanya.

BACA LAGI: Cuma guna tulang ayam, artis muda Malaysia bijak hasilkan pameran seakan-akan tapak arkeologi di ibu negara

BACA LAGI: [VIDEO] 'Berlarilah dengan senyuman', sakit kanser tahap 4 tidak halang Cikgu E sertai maraton, syukur miliki anak isteri penguat semangat

photo_6260395016014906398_y

Efluen kumbahan masuk ke salur pembentung kumbahan dan mengalir ke anak sungai.

Tambahnya lagi, pihaknya mengarahkan pemilik premis membuat permohonan lesen perniagaan yang sah.

Susulan itu, pemilik juga perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi pengesahan kolam takungan dan buangan efluen agar memenuhi piawaian yang ditetapkan.

“Notis Perintah Penutupan telah dikeluarkan di bawah peruntukan Seksyen 62 (1) UUK Establisymen Makanan MPHS 2007 kepada pusat penyembelihan terbabit selama 14 hari bermula pada Khamis hingga 26 Disember ini.

“Jabatan Penguatkuasaan pula mengarahkan pemilik premis menghentikan operasi perniagaan serta merta sehingga mendapat pengesahan kelulusan dari MPHS,” katanya.

MPHS berharap tindakan tegas yang diambil itu mampu menjadi iktibar kepada pemilik premis lain agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram