
PERASAAN cemas dialami penduduk sekitar Perairan Pantai Teluk Batik, Manjung, Perak apabila kelihatan seekor buaya di perairan tersebut pada Khamis.
Dalam beberapa video tular dimuat naik di media sosial, haiwan reptilia itu kelihatan sedang berkeliaran dengan ia turut dilihat pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Manjung yang sedang bertugas.
Kehadiran pemangsa berkenaan mendesak orang ramai untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa kerana masing-masing risau akan risiko sekiranya ia tidak ditangkap segera.
BACA LAGI: [VIDEO] Mangsa wanita bot terbalik di Pantai Teluk Batik meninggal dunia
BACA LAGI: [VIDEO] Patut dah lama MOTAC, KBS buat kursus sijil keselamatan untuk pengusaha aktiviti air
Bertindak berdasarkan aduan tersebut, APM Perak segera melancarkan operasi untuk menangkap buaya berkenaan selain meminta orang ramai supaya berhati-hati di kawasan berkenaan.
"Pasukan Penyelamat Pantai APM Manjung sedang melakukan pemantauan di sekitar pantai Teluk Batik apabila mendapat aduan dari orang awam tentang kehadiran reptilia berbahaya itu.
"APM Perak menasihati pengunjung supaya sentiasa berhati-hati apabila melakukan aktiviti air atau berkunjung ke pantai dan sentiasa berwaspada dengan kehadiran haiwan ini," katanya.
Kelibat buaya di perairan tersebut bukanlah sesuatu yang baharu kerana pada 2017, orang ramai pernah merakam haiwan terbabit di Port Vale, Teluk Rubiah iaitu kira-kira 1.8 kilometer dari pantai peranginan awam Teluk Batik.
Kehadirannya sudah tentu membuatkan orang ramai lebih berhati-hati kerana tidak mahu menjadi mangsa meskipun langkah berhati-hati sudah diambil ketika aktiviti dilakukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram