SEORANG lelaki hilang dipercayai dibaham buaya ketika mencuci bot bersama anaknya dalam satu kejadian di kawasan sungai Kampung Sri Ganda dekat Kinabatangan, Sabah pada Ahad.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.35 malam.
"Mangsa dikenali Kisman Baco, 36, disedari hilang oleh anaknya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga dan seterusnya kepada pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan.
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki maut tersepit, lori dipandu hilang kawalan sebelum rempuh tanker minyak di Dengkil
"Seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 100 kilometer dari BBP Kinabatangan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas kenyataan itu lagi, saksi iaitu anak mangsa, ketika kejadian dia dan bapanya sedang mencuci bot di tepi sungai.
"Dia kemudiannya menyedari bapanya tiba-tiba tiada berhampiran dengannya.
"Pasukan bomba ke lokasi kejadian keesokan paginya memandangkan jarak ke lokasi yang jauh dan sebaik tiba, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dilakukan," ujar beliau.
Pencarian dilakukan sejauh dua kilometer di kawasan hulu dan muara sungai bersama agensi bantuan yang lain dan penduduk kampung.
Bagaimanapun, mangsa tidak ditemui sehingga kini dan operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada pukul 5 petang Isnin dan akan disambung Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram