KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) disarankan untuk melaksanakan kursus sijil keselamatan untuk pengusaha aktiviti air di negara ini.
Menerusi ciapan di laman X (Twitter), seorang pengguna akaun bernama Ooi Beng Cheang berkata, malah kursus seperti itu sepatutnya sudah lama dibuat oleh kementerian terlibat.
Ujarnya, dengan itu, syarikat insurans akan lebih yakin untuk menyediakan perlindungan kepada pelanggan mereka.
"Sepatutnya MOTAC, KBS dah lama patut buat kursus sijil keselamatan untuk pengusaha aktiviti air ni.
"Setiap kali kemalangan berlaku, orang marah sekejap, lepas itu lupa balik," ciapnya pada Isnin.
Dia berkata demikian sebagai mengulas mengenai insiden bot penumpang terbalik di Pantai Teluk Batik, Manjung, Perak melibatkan dua kru dan tujuh pelancong tempatan berusia antara tiga hingga 34 tahun pada Isnin.
Insiden itu mengakibatkan seorang mangsa, Nurulafiqah Abdullah Sani meninggal dunia di Hospital Seri Manjung pada Selasa.
Dalam kejadian sekitar pukul 10.30 pagi itu, dilaporkan bot dinaiki mangsa bersama suami, Mohammad Hafiz Johari, 31, adik serta dua anaknya bergerak laju dan tiba-tiba berpusing lalu terbalik kira-kira sembilan meter dari pesisir pantai.
Difahamkan, mangsa bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan pengusaha bot berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai insuran, Beng Cheang yang juga pengurus kewangan berkata, rakyat perlu memahami secara lebih jelas berhubung jenis-jenis kemalangan yang ditanggung oleh polisi insurans masing-masing.
"Saya tak akan naik banana bot, bot laju, paragliding (luncur udara) atau jet ski yang disewakan tepi pantai sebab semua ni, kalau aku kemalangan tak boleh claim insurans hayat, kesihatan atau personal accident.
"Ia dianggap aktiviti bahaya, kalau nak buat juga atas risiko sendiri. Aktiviti bahaya lain seperti flying fox, bungee jumping, diving pun kena ada insurans tambahan.
"Walaupun anda ada perlindungan sukan, kena tanya ejen apa aktiviti bahaya yang tak dilindungi. Contohnya, produk AIA 'Free Lifestyle Sports Cover' tak termasuk martial arts. Kalau kau patah tangan sebab nak patahkan kayu, tak tangggung.
"Polisi insurans ni orang jarang baca, tapi sekurang-kurangnya kena tahu apa perkara yang tak ditanggung. Logik dia mudah, jangan cari bahaya/risiko tambahan kalau ia boleh dielakkan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram