KWSP perkenal 3 tahap simpanan bersara mengikut gaya hidup


  • Primer
  • Khamis, 12 Dis 2024

KWSP melancarkan panduan Belanjawanku 2024/2025 dan RIA yang membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup serta aspirasi persaraan berbeza.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) yang membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup serta aspirasi persaraan berbeza.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn, RIA diperkenalkan dengan tiga tahap kerangka simpanan iaitu Simpanan Asas, Simpanan Mencukupi dan Simpanan Dipertingkat seiring dengan pelancaran panduan Belanjawanku 2024/2025 (Belanjawanku).

"Rangka Kerja RIA dengan tiga tahap baharu akan disandarkan kepada Pendapatan Persaraan Mencukupi seperti ditentukan dalam Belanjawanku dari masa ke masa dan menggalakkan pengeluaran bulanan selama 20 tahun, sejajar purata jangka hayat di Malaysia.

BACA LAGI : [VIDEO] Dua pejalan kaki cedera parah, penunggang motosikal cedera terseret dilanggar pemandu khayal di China

BACA LAGI : [VIDEO] Penduduk Mersing gempar jumpa mayat warga tempatan tanpa identiti terdampar di tebing Sungai Endau

"Bagi Simpanan Asas (RM390,000) pengeluaran bulanan RM1,625 pada tahun satu, meningkat kepada RM4,434 menjelang tahun ke-20; Simpanan Mencukupi (RM650,000) membolehkan pengeluaran bulanan bermula pada RM2,708 pada tahun satu, meningkat kepada RM7,389 menjelang tahun ke-20.

"Simpanan Dipertingkat (RM1.3 juta) iaitu pengeluaran bulanan sebanyak RM5,417 di tahun satu, meningkat kepada RM14,779 menjelang tahun ke-20 untuk persaraan lebih selesa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau lagi, tahap simpanan RIA akan disemak setiap tiga tahun bermula 2029 menggunakan data terkini daripada kajian Belanjawanku agar sentiasa relevan dengan peningkatan kos.

"Panduan Belanjawanku dan Rangka Kerja RIA merupakan tujuan asas KWSP dalam membina masa depan persaraan yang lebih baik untuk semua rakyat di negara ini.

"Panduan ini membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran dalam menguruskan perbelanjaan isi rumah, sementara KWSP menyediakan landasan untuk membina simpanan persaraan mencukupi.

"Dengan menyediakan gambaran komprehensif mengenai perbelanjaan bulanan dan memperkenalkan penanda aras simpanan baharu, kami berhasrat untuk membimbing ahli mencapai persaraan yang bermakna," katanya.

Tambah Ahmad Zulqarnain lagi, inisiatif tersebut menunjukkan komitmen utuh KWSP menyesuaikan organisasi dengan realiti sosioekonomi yang berubah-ubah dan kekal relevan selain memastikan tiada rakyat Malaysia ketinggalan dalam merancang masa depan.

Panduan Belanjawanku 2024/2025 boleh dimuat turun secara percuma menerusi laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my.

Orang awam juga boleh memuat naik aplikasi Belanjawanku di Apple App Store, Google Play serta Huawei App Gallery. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram