Kaut RM250 sehari berlakon wakil madrasah, pasangan kekasih aktif curi tabung derma di Melaka dan Johor akhirnya dicekup


  • 112
  • Rabu, 11 Dis 2024

Siasatan awal mendapati kesemua tabung derma dicuri mereka adalah milik madrasah dan rumah anak yatim yang diletakkan di kedai-kedai makan di sekitar Melaka dan Johor. — Gambar hiasan

SELEPAS dua tahun aktif mencuri tabung derma diletakkan di kedai-kedai makan, sepasang kekasih akhirnya tumpas selepas ditahan polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Klebang, Melaka pada 4 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil risikan dan maklumat orang awam itu berhasik membantu menahan supek lelaki berusia 33 tahun dan wanita 35 tahun itu kira-kira pukul 12 tengah malam.

BACA LAGI: [VIDEO] Samseng acah-acah mahu langgar lepas mengamuk ditegur merokok di stesen minyak

BACA LAGI: Polis jumpa dompet dan MyKad, mayat reput di Jalan Rawang Bypass disahkan lelaki tempatan

“Siasatan awal mendapati kesemua tabung derma dicuri mereka adalah milik madrasah dan rumah anak yatim yang diletakkan di kedai-kedai makan di sekitar Melaka dan Johor.

“Modus operandi mereka adalah dengan pergi ke warung dan kedai makan lalu berpura-pura sebagai wakil madrasah, pondok, atau rumah anak yatim untuk mengambil tabung derma,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Christopher menambah, pasangan berkenaan telah aktif sejak dua lalu dan sudah memulakan perbuatan keji di Melaka sekitar dua bulan kebelakangan ini, dengan anggaran pendapatan sekitar RM250 sehari hasil daripada kegiatan tersebut.

polis

Antara tabung derma yang dirampas polis dalam tangkapan suspek di sebuah kondominium di Klebang, Melaka.

Dalam serbuan tersebut, polis menemukan sebanyak 54 tabung derma, sebuah kereta, dan pemotong besi.

“Turut ditemukan satu peket plastik lut sinar mengandungi ketulan mampat dedaun hijau disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira lapan gram.

“Hasil tangkapan ini, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka iaitu empat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, tiga di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta satu bagi Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Tambahnya, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan narkotik dan pasangan itu direman selama tujuh hari dan akan disambung reman esok untuk siasatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram